Kenapa Suami Suka Melancap Walau Isteri Berada Di Sebelah, Luahan Isteri Malang.
SOALAN: SAYA wanita berumur 27 tahun, sudah empat tahun
berkahwin dan ada anak perempuan berumur tiga tahun. Saya dan suami berkahwin
selepas tujuh tahun menyulam cinta. Dia suami yang baik dan penyayang.
Bagaimanapun, ketika hamil hidup saya mula tertekan selepas
dapat tahu suami gemar beronani. Apabila dia menonton filem Hindustan wanita
menari dan pakai pakaian seksi, dia beronani sehingga klimaks. Dia ingat saya
tidak tahu. Sebenarnya saya tahu tapi mendiamkan diri kerana tidak mahu dia
malu. Namun, saya akhirnya hilang sabar apabila dia masih teruskan tabiat itu
di belakang saya.
Lama kelamaan perangai gila seks suami saya makin parah.
Satu hari Allah sengaja nak tunjukkan pada saya. Suami sangka saya tidur ketika
dia asyik menonton cerita Hindustan di televisyen. Saya lihat dia menyentuh kaca
televisyen yang ketika itu menayang dada perempuan menari. Malah, dia juga
menjilat dada perempuan dalam kaca televisyen itu.
Hancur luluh hati melihat suami bersikap gila seks begitu.
Ketika itu umur anak kami setahun. Saya menasihatinya cara baik, tapi dia hanya
diam dan senyum. Di belakang saya, dia masih melakukan perbuatan memalukan itu.
Ketika anak berumur dua tahun, saya ulangi nasihat kepadanya dan memberitahu
perbuatannya berdosa, namun dia masih melakukannya.
Kadangkala dia tidak melakukan hubungan kelamin bersama saya
sehingga lebih sebulan, tetapi dia puaskan dirinya dengan onani dan
berimaginasi mengenai wanita seksi yang ditontonnya dalam televisyen. Saya
tidak sangka mendapat suami gila seks seperti ini.
Pernah satu hari dia tinggalkan saya di rumah kawan pada
waktu malam dan pulang ke rumah. Ketika itu adik perempuan saya tinggal dengan
saya. Selepas itu adik saya beritahu, suami saya bersikap lain macam dengannya.
Tidak mahu perkara buruk berlaku, saya terus hantar adik saya pulang ke kampung.
Ini kerana saya pernah lihat cara suami memandang adik saya
dari bawah ke atas penuh bernafsu.
Ketika menulis surat ini, tangan saya menggigil dan hati
saya hancur. Saya kini berubah menjadi pendiam, tapi suami tak pernah kisah.
Saya bangun malam untuk menunaikan solat tahajud dan berdoa
semoga dia berubah. Saya pernah bertanya adakah dia tidak puas bersama saya dan
sebab itulah dia suka beronani, tapi dia buat tidak tahu.
Kebelakangan ini dia suka merakam aksi perempuan tidak
berbaju untuk disimpan dalam telefon bimbitnya. Mungkin mudah untuk dia
beronani di luar rumah tanpa pengetahuan saya. Saya sudah letih dengan hal ini
dan sangat tertekan.
Saya masih menghormatinya sebagai suami. Saya sanggup
bekerja biarpun sebagai kuli demi meringankan beban suami yang gaji tidak
seberapa. Saya juga beritahu suami, jika ada perempuan lain yang dia suka,
kahwinlah. Saya reda jika Allah takdirkan saya hidup bermadu. Namun, saya tidak
mahu bercerai kerana tidak rela anak saya hilang kasih sayang ayahnya.
Demi Allah, saya reda biar hati saya menderita asalkan anak
bahagia. Saya tidak tahu apakah suami saya mampu berubah, cuma saya harap dia
bertaubat sebelum sakaratul maut. Saya ubah rambut, jaga kesihatan dan berat
badan. Saya sentiasa mencantikkan diri dengan alat solek dan melakukan diet
senaman, tapi saya rasa seperti sia-sia.
JAWAPAN:
*Apabila sampai ke tahap menjilat kaca televisyen yang
memaparkan perempuan seksi dan lebih sebulan tidak meniduri isteri, sebaliknya
nafsu dipuaskan dengan beronani, saya berpendapat suami puan termasuk dalam
kategori berpenyakit atau orang sakit.
Puan, orang sakit perlu dibawa berjumpa doktor pakar yang
mampu mengubatnya.
Mungkin, pakar sakit tuan seperti Dr Ismail Thambi paling
sesuai untuk puan dan suami jumpa atau hubungi bagi mendapatkan nasihat. Atau
mungkin juga suami puan boleh dirujuk kepada pakar psikologi kerana masalah
dicetuskannya ada kaitan dengan masalah jiwa dan mental.
Bagaimanapun, saya percaya besar kemungkinan suami puan
keberatan berbuat demikian.
Biasalah, orang yang sakit mental biasanya tidak mengaku
mereka menghidap penyakit itu. Jika betul telahan saya, puan jangan kecewa,
sebaliknya tidak salah jika puan pergi berjumpa pakar itu bersendirian kerana
sekurang-kurangnya ada nasihat yang boleh puan gunakan untuk berdepan suami.
Saya bukan pakar dalam bidang ini, justeru saya minta maaf
kerana tidak dapat banyak membantu puan.
Lagipun saya bimbang, memberi nasihat salah pasti memburukkan
lagi keadaan.
Bagaimanapun, tidak salah rasanya untuk saya sekadar
menasihatkan puan supaya tabah, banyak bersabar dan jangan berterusan menyimpan
persepsi buruk terhadap suami. Saya akui, masalah dicetuskannya memang
mengecewakan puan sebagai isteri.
Sudah lumrah, isteri manapun pasti berperasaan seperti puan
jika suami mereka bersikap seperti suami puan. Cuma, puan perlu rasional dan
tidak boleh terburu-buru. Sebab itu saya mahu puan melihat masalah suami
sebagai satu penyakit.
Dengan berpandangan begitu, sekurang-kurangnya puan faham
dia perlukan bantuan dan rawatan. Saya puji sikap puan yang masih melayan dan
menghormatinya sebagai suami. Ya, begitulah seharusnya dan teruslah dengan
tindakan terpuji itu sambil berusaha memastikan suami puan mendapat rawatan
pakar.
Saya juga tidak mahu puan menganggap usaha puan mengubah
gaya rambut, jaga berat badan dan mencantikkan sebagai sia-sia. Percayalah,
jika itu tidak puan lakukan, masalah mungkin menjadi lebih rumit. Jangan lupa,
isteri mencantikkan diri untuk kegembiraan suami adalah perkara yang digalakkan
Islam.
Melakukannya dengan ikhlas, insya-Allah puan mendapat
pahala. Jadi, ia bukan perbuatan sia-sia. Akhir sekali, pada pandangan saya
yang kurang arif dalam hal hubungan seksual dan masalah mental ini, masalah
kurang komunikasi mungkin menjadi antara punca suami puan berperangai seperti
gila seks dan bersikap dingin terhadap puan. Maksud saya, memang resam orang
Melayu menganggap seks sebagai perkara sensitif dan tidak boleh dibual atau
dibincangkan, biarpun antara suami isteri.
Sedangkan antara keperluan untuk pasangan suami isteri
mencapai kepuasan maksimum dalam melakukan hubungan seks ialah belaian dan
perbualan romantik, selain berterus-terang mengenai ‘apa yang lebih dan apa
yang kurang’. Nyata situasi itu tidak berlaku pada puan kerana bila puan
bertanya suami adakah dia tidak puas melakukan hubungan seks dengan puan, dia
hanya buat tidak tahu.
Oleh itu, memandangkan suami puan agak pasif dan bersikap
tertutup dalam membicarakan soal seks, puan perlu memainkan peranan lebih
dominan untuk mengubah sikapnya dengan cara sering mengajaknya berbual mengenai
hubungan seks anda berdua.
Ulasan
Catat Ulasan