Ramai Orang Islam Tak Tahu! Inilah Hukum Tertelan Air Mani Isteri Atau Suami
SoalanUstaz, apakah hukum ‘oral sex’ ? atau dalam kata
lainnya seks menggunakan mulut iaitu dengan menghisap atau menjilat kemaluan
isteri atau mengulum kemaluan suami. Bagaimana pula jika ia dilakukan oleh
pasangan kekasih yang belum berkahwin, adakah ia zina? Jika tertelan air mani
suami pula ustaz, bagaimana ye?..Terima kasih atas jawapan ustaz.- Anak Empat –
jawapan
Berkenaan isu oral seks, ulama terbahagi kepada dua kumpulan
:-
Yang mengharuskan :
Dr Syeikh Yusof Al-Qaradawi rujuk (
www.islamonline.net) berfatwa harus
untuk mencium kemaluan isteri atau suami dengan syarat tidak menghisap atau
menelan apa jua cecair yang keluar darinya. Menelan atau menghisap sebegini
adalah MAKRUH disisi Islam kerana ia salah satu bentuk perlakuan zalim
(meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya) dan melampaui batas dalam hubungan
seksual.
Apa yang pasti diharamkan menurut beliau adalah ‘anal sex’
atau seks melalui lubang dubur, kerana terdapat nas yang jelas mengharamkannya,
adapun ‘oral seks’ tiada sebarang nas jelas dari Al-Quran dan hadis yang
melarangnya.
Pandangan ‘harus’ atau boleh dilakukan ini dikongsi oleh
Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Al-Jumaah dan juga Dr. Sabri `Abdul Ra’ouf (Prof
Fiqh di Univ Al-Azhar) apabila mereka menegaskan, tindakan ini harus selagi
mana ianya benar-benar dirasakan perlu bagi menghadirkan kepuasan kepada
pasangan suami dan isteri, terutamanya jika ia dapat menghindarkan pasangan ini
dari ketidakpuasan yang boleh membawa mereka ke lembah zina kelak.
Perbincangan ringkas
Namun begitu, saya kira kesemua mereka yang mengharuskan
termasuk Syeikh Yusof Al-Qaradawi tidak pula menghuraikan satu isu yang mungkin
boleh dipanjangkan perbahasannya, iaitu bab kenajisan air mazi dan air mani.
Justeru, saya mengira fatwa beliau mungkin boleh digunakan
jika dalam keadaan tiada sebarang cecair dikeluarkan semasa aktiviti oral sex
ini dilakukan. Namun keadaan ini dikira sukar berlaku kerana bagi seseorang
yang normal, nafsu yang meningkat pastinya akan mengeluarkan cecair pelincir
iaitu mazi.
Air mani lelaki dan wanita dianggap najis menurut mazhab
Hanafi dan Maliki. Mazhab Syafie dan Hanbali pula mengganggapnya suci.
Namun semua ulama bersetuju air mazi adalah najis. Hasilnya,
majoriti pandangan ulama yang menyatakan menelan dan hisap termasuk cecair mazi
ini adalah haram atau makruh berat. Beberapa ulama kontemporari menegaskan
perlu membasuh dengan segera jika terkena mazi tadi.
Mazi ibarat najis lain yang dianggap kotor dalam Islam,
justeru haram memakan tahi, meminum air kencing dan termasuk juga air mazi ini.
Bukan sekadar haram memakan najis malah ulama empat mazhab juga memfatwakan
haram menjual najis (kecuali diketika wujudnya teknologi untuk menggunakannya
sebagai baja), apatah lagi untuk menjilat, hisap dan menelannya. Sudah tentulah
ia lebih lagi diharamkan.
Selain itu, menurut undang-undang Malaysia juga ia adalah
satu perara yang tidak normal, khusus buat orang yang agak luar biasa nafsunya.
“Oral seks” juga tergolong dalam kategori perlakuan seks
luar tabie, ia adalah salah menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit
kesalahan boleh dikenakan hukuman sebat dan 20 tahun penjara.
Justeru, mana-mana pasangan kekasih yang melakukan perkara
ini, boleh dilaporkan dan diambil tindakan oleh undang-undang Malaysia. Dari
sudut undang-undang Islam, ia dikira berdosa besar dan bolehlah dijadikan sebat
dan 20 tahun penjara tadi sebagai peruntukan ta’zir di dalam Islam bagi mereka
yang sabit bersalah.
Ulama Yang Mengharamkan
Kebanyakan ulama Saudi mengharamkan perbuatan ini, ini dapat
dilihat dari fatwa-fatwa berikut [1] :-
Mufti Saudi Arabia bahagian Selatan, Asy-Syaikh Al`Allamah
Ahmad bin Yahya An-Najmi menjawab sebagai berikut,
“Adapun hisapan isteri terhadap kemaluan suaminya (oral
sex), maka ini adalah haram, tidak
dibolehkan. Ini Kerana ia (kemaluan suami) dapat memancarkan mani, mazi dan
lain-lain. Kalau memancar, maka akan keluar darinya air mazi yang ia najis
menurut kesepakatan (ulama’). Apabila (air mazi itu) masuk ke dalam mulutnya
lalu ke perutnya maka boleh jadi akan menyebabkan penyakit baginya.
Melalui pandangan ini, kita dapat melihat satu point yang
penting, iaitu sejauh mana tindakan ini boleh memberikan kesan buruk kepada
kesihatan pasangan. Menurut pembacaan saya, ulama yang membolehkan perilaku ini
juga bersetuju untuk mengganggapnya haram jika dapat dipastikan dan dibuktikan
dari sudut saintifik, ia boleh membawa bakteria dan menyebabkan penyakit yang
serius.
Saya teringat pakar sakit puan, Dr Ismail Thambi pernah
menyatakan bahawa bakteria yang berada di mulut adalah sangat banyak berbanding
di kemaluan, justeru beliau menyatakan tindakan ‘oral sex’ dibimbangi boleh
membawa penyakit kemaluan disebabkan bahagian mulut pasangan yang mempunyai
banyak bakteria dan kuman.
Selain itu, seorang lagi ilmuan Islam iaitu Syeikh
Nasiruddin Albani berkata :-
“Ini adalah perbuatan sebahagian binatang, seperti anjing.
Dan kita mempunyai dasar umum bahawa di dalam banyak hadits, Ar-Rasul melarang
untuk tasyabbuh (menyerupai) haiwan-haiwan, seperti larangan beliau turun
(sujud) seperti turunnya unta, dan menoleh seperti tolehan serigala dan mematuk
seperti patukan burung gagak.
Dan telah dimaklumi pula bahawa Nabi Shallallahu `alahi wa
sallam telah melarang untuk tasyabbuh (menyerupai) dengan orang kafir, maka
diambil juga daripada makna larangan tersebut pelarangan tasyabbuh dengan
haiwan-haiwan-sebagai penguat yang telah lalu, apalagi haiwan yang telah
diketahui keburukan tabiatnya. Maka sewajarnya seorang muslim – dan keadaannya
seperti ini – merasa tinggi untuk menyerupai haiwan-haiwan”
Namun, pendapat peribadi saya mendapati pandangan dan dalil
yang digunapakai oleh Syeikh Albani ini adalah tidak begitu kukuh, namun saya
tidak berhasrat untuk membincangkannya dengan panjang lebar di ruang ini.
Tindakan men‘generalize’ semua jenis persamaan (tasyyabbuh)
sebagai haram secara total juga boleh didebatkan kesohihannya. Demikian juga
menyamakannya dengan perilaku binatang, benarkah binatang melakukan ‘oral
seks’?, jika sekadar menjilat mungkin ye, namun menghisap kemaluan si
jantan? Adakah binatang yang
melakukannya?.
Saya tidak pasti. Bagaimana pula binatang ada juga yang mencium
dan memeluk pasangannya. Adakah mencium dan memeluk juga diharamkan kerana
menyerupai binatang.? Sudah tentu tidak.
KESIMPULAN
Melalui perbincangan dan pendedahan ringkas di atas, jelas
kepada kita perbezaan dua kumpulan ulama ini. Dari hasil penelitian terhadap
pendapat mereka bolehlah saya rumuskan bahawa :-
1) Elok dijauhi aktiviti ini dan menghadkan kepada perilaku
seks yang lebih sihat bersama pasangan. Ini bagi menjauhi perklara khilaf.
2) Harus bagi suami isteri untuk mencumbu kemaluan pasangan
mereka dengan syarat tidak menghisap, jilat dan menelan apa jua cecair. Ia juga
dituntut untuk membersihkan mulut dan kemaluan mereka sebelum melakukan
aktiviti ini sebaik mungkin bagai meninimakan kemungkinan penyakit. Namun ia
makruh yang cenderung kepada haram (makruh tahrimi) jika perbuatan ini sengaja
untuk meniru-meniru perbuatan aksi seks melampau golongan bukan Islam dan juga
binatang.
3) Haram hukumnya menelan mazi dan mani pasangan kerana
Islam mengharamkan umatnya dari melakukan perkara kotor sebegini, sama juga
seperti diharamkan menjual najis (kecuali baja yang akan diproses melalui
dengan bahagian kimia)
4) Hukumnya menjadi harus berdasarkan keringanan khusus yang
diberi oleh Islam atau disebut ‘rukhshah’ kepada pasangan yang amat perlukannya
bagi mengelakkan ketidakpuasan dan membawa masalah besar rumah tangga atau
lebih dahsyat lagi, zina secara rambang diluar rumah.
5) Hukum melakukannya bersama pasangan kekasih atau
mana-mana pasangan sebelum nikah yang sah adalah haram, dosa besar dan boleh
didakwa dengan hukuman 20 tahun penjara di Malaysia. Namun ia tidak dianggap
berzina dalam erti kata dan takrif zina yang disebut di dalam kitab-kitab Fiqh
Islam. Ia hanya dianggap sebagai muqaddimah zina atau perdahuluan zina. Dalam
kaedah fiqh Islam, “Apa-apa yang membawa kepada haram, hukumnya adalah haram
jua”
Sebagai akhirnya, selain dari membincangkan soal hukum, kita
mesti jelas bahawa hukum Islam sentiasa ingin melahirkan keutuhan rumah tangga
dan masyarakat. Kita mesti sedar dan berfikir samada tindakan oral seks ini
benar-benar membawa sesuatu yang berharga buat keharmonian rumahtangga kita,
dan apa pula kesannya kepada nafsu diri. Adakah ia semakin mampu dikawal atau
semakin buas sebenarnya.
Kita bimbang, tindakan ini boleh membawa kepada keinginan
nafsu yang semakin membara dan tidak terkawal sehingga membhayakan diri dan
masyaarakat di sekeliling kita disebabkan nafsu buas dan luar biasa yang
sentiasa dilayan ini. Layanlah nafsu secara berpada-pada agar tidak ditawan
olehnya kelak. Fikirkan… Sekian SUMBER: Zaharuddin Abd Rahman
HUKUM MENELAN AIR MANI, USTAD AZHAR IDRUS
Ulasan
Catat Ulasan