Isu Sabah: Kerajaan tidak akan layan tuntutan Filipina

KEPALA BATAS - Kerajaan tidak akan melayan tuntutan Filipina terhadap Sabah kerana negeri itu merupakan sebahagian daripada negara berdaulat seperti diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu sering ditimbulkan oleh pihak negara itu sebelum ini namun, Suruhanjaya Cobbold pada 1962 telah menetapkan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.

"Keberadaan Sabah dalam Malaysia telah ditentukan melalui Suruhanjaya Cobbold, maknanya mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri, di bawah naungan payung UN (PBB) yang diiktiraf seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru KAFA peringkat negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar The Philippine Star baru-baru ini yang melaporkan bakal presiden Filipina Rodrigo Duterte berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Duterte yang menang dalam pilihan raya presiden dijangka mengangkat sumpah pada 30 Jun ini. Beliau adalah Datuk Bandar Davao City selama hampir 22 tahun.

Presiden Filipina yang baru, Rodrigo Duterte berikrar untuk meneruskan tuntutan ke atas Sabah, lapor akhbar The Philippine Star.

Ditanya jika beliau akan mengiktiraf tuntutan Kesultanan Sulu, Rodrigo berkata: “Ya. Dasar selama ini akan tetap menjadi dasar kerajaan, khasnya demi kepentingan negara.

“Kita perlu membuat tuntutan kami,” katanya.

Kesultanan Sulu pernah memerintah sebahagian daripada kawasan di selatan Filipina dan Sabah.

Menurut laporan itu, kerajaan British memindahkan Sabah kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1963.

Akhbar itu melaporkan, Filipina mendakwa Sabah hanya dipajak bukannya diserahkan kepada British North Borneo Co.

Malaysia menegaskan masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Pada 2013, pengikut Sultan Sulu, Jamalul Kiram menceroboh Lahad Datu di Sabah bagi menuntut hak mereka.

Ia berakhir dengan 10 anggota keselamatan Malaysia dan pengikut-pengikut Kiram terbunuh.

Menurut laporan itu, Presiden Aquino telah menjelaskan kepada Malaysia bahawa tindakan pengikut Kiram tidak dipersetujui kerajaan Filipina.

The Manila Bulletin turut menyiarkan laporan sama yang memetik Rodrigo sebagai berkata, pentadbirannya “akan kekal dengan tuntutan mereka” ke atas Sabah.


“Kami benarkan pewaris proprietari berunding (dengan Malaysia). Disebabkan ia adalah sebahagian daripada tuntutan kami, ia akan menjadi tanah kami,” katanya.-Sinar Harian
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.