Laporan Terbaru Wall Street Journal Suatu Penipuan - Kata Setiausaha Perdana Menteri.

Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata, laporan terbaru oleh Wall Street Journal merupakan suatu penipuan dan mengesahkan akhbar berpangkalan di New York itu sebagai alat propaganda kepada puak penentang politik perdana menteri.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri itu merujuk kepada tuduhan oleh WSJ yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak disoal siasat oleh penyiasat Malaysia.

WSJ turut mendakwa keadaan itu terjadi ekoran tekanan politik dan kurangnya ketelusan oleh kerajaan sehingga Najib tidak terpalit dengan sebarang salah laku dalam skandal 1MDB.

"Semua tahu, dan telah dilaporkan secara meluas di media bahawa pada 5 Disember 2015, Najib telah disoal siasat selama beberapa jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan penyiasatan utama.

"Perdana menteri juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak penyiasat dan seiring itu, mengarahkan semua badan berkaitan dalam kerajaan untuk berbuat demikian," katanya dalam kenyataan.

Hari ini, WSJ mendakwa bahawa Bank Negara telah menulis surat yang mengesahkan bahawa Good Star Limited dimiliki oleh jutawan berasal dari Pulau Pinang, Low Taek Jho.

Ini bercanggah dengan kenyataan kerajaan bahawa Good Star, yang kemudiannya dibubarkan adalah milik bekas rakan kongsi 1MDB, Petrosaudi International.

Salinan surat itu ditweet oleh WSJ dan kemudiannya ditweet semula oleh ketua editor Asia WSJ, Tom Wright, pagi ini.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat melaporkan kandungan surat itu berikutan ia telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Mengulas lanjut, Tengku Sariffuddin menambah, WSJ tidak mengambil endah fakta tersebut dan sebaliknya, memilih untuk menipu pembaca dengan meneruskan agenda berat sebelah.

"Mereka bergantung kepada sumber tanpa nama dan cerita-cerita oleh Tun Mahathir (bekas perdana menteri) dan sekutu terbaru dari DAP termasuk Tony Pua dalam artikel terbaru mereka," jelasnya.

Penipuan dengan sumber tidak disahkan itu, yang mana mereka gagal menunjukkan apa jua bukti telah dipersembahkan sebagai fakta oleh WSJ, sama seperti beberapa laporan palsu sebelum ini yang mendakwa perdana menteri melantik Tan Sri Irwan Serigar Abdullah sebagai Gabenor Bank Negara, katanya.

Justeru, suatu siasatan perlu dilakukan untuk mencari jawapan kepada tindakan WSJ yang mengambil pendekatan memihak kepada pihak tertentu selain hal-ehwal dalaman negeri ini, jelas beliau.

WSJ yang menumpukan kepada laporan ekonomi dan korporat serta diterbitkan selama enam hari dalam seminggu merupakan akhbar paling laris di Amerika Syarikat (AS).-Malaysiakini
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.