Lelaki Terkaya China Umum 'Perang' Terhadap Taman Tema Disney


BEIJING: Syarikat konglomerat China, Wanda, pada Sabtu membuka taman tema pertamanya, selepas majikannya yang bertaraf hartawan mengumumkan ‘perang’ terhadap Disney beberapa minggu sebelum gergasi hiburan Amerika itu melancarkan taman tema seumpamanya di Shanghai.

Wanda City, yang terletak di tenggara Nanchang, merangkumkan pusat beli-belah gergasi di hamparan hartanah melebihi dua kilometer persegi, termasuk sebuah taman tema seluas 80 hektar yang memiliki roller coaster tertinggi dan terpanjang di China.

Projek itu melibatkan hasil pelaburan 22 bilion yuan (RM14 bilion), kata kenyataan daripada syarikat berkenaan.

“Kami mahu menjadi model dan menyerlahkan pengaruh Cina sebagai budaya utama,” ujar pengasas Wanda, Wang Jianlin, sewaktu acara pembukaan taman itu sekali gus merujuk kepada ‘penjajahan’ budaya asing.

Seminggu sebelum itu, Wang yang dinobat majalah Forbes sebagai lelaki paling kaya di China, berkata dia memantau perkembangan Disney yang mahu membuka taman tema pertamanya di China pada Jun nanti.

“Kegilaan terhadap Mickey Mouse dan Donald Duck sudah berakhir. Zaman kita hanya mengikut Disney secara membuta tuli sudah lama tiada,” ujarnya dalam temu bual dengan stesen penyiaran CCTV.

Selepas pembinaan taman Wanda City di Nanchang, Wanda bercadang untuk membuka enam lagi taman tema di China dalam tempoh tiga tahun dan memiliki kira-kira 15 taman seumpamanya menjelang tahun 2020.

“Kami mahu memastikan Disney tidak mampu membuat keuntungan dalam sektor taman tema di China selama 10 dan 20 tahun.

“Seekor harimau tidak mampu melawan sekumpulan serigala,” ujarnya yang juga mendakwa Disney hanya menyalin pencapaian lampau tanpa berinovasi.

Namun pakar menyifatkan sasaran Wanda itu terlalu tinggi, memandangkan kumpulan berkenaan kurang berpengalaman dalam pasaran sektor taman tema. -Astro AWANI
Wanda City di Nanchang
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.