Sabtu, 21 Mei 2016

Search, Selepas 35 Tahun, Kini Sudah Sampai Penghujungnya.- Amy

Mungkin segalanya sudah terhenti. Selama 35 tahun mereka bersama nampaknya detik noktah itu pun tibalah.

Secara berkias Amy membuat status ringkas pada akaun Facebook: Terima kasih sahabat cukup di sini sahaja.

Bersama status itu ialah gambar Amy bersama Yazid yang sebelum ini menjadi pemain dram Search.

Tidak dapat dipastikan bila dan di mana gambar berkenaan diambil, namun dipercayai ia berlaku ketika Yazid sedang uzur dan mendapatkan rawatan di hospital suatu ketika dulu.

Gambar itu dimuat naik pagi tadi.

Search dan Yazid kini berseteru berhubung isu pembahagian wang menjelang konsert yang sepatutnya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos ini.

Akibat timbul rasa tidak puas hati Yazid membuat laporan polis dan mendakwa isteri Amy mengherdiknya dalam satu perbualan telefon.

Ekoran itu Search membuat sidang media menjelaskan keadaan. Kumpulan legenda rock itu juga - melalui peguam mereka Yusmadi Yusoff - menuntut Yazid meminta maaf.

Sehari kemudian Yazid membuat sidang media pula dan menyatakan keengganannya meminta maaf.

Semalam Search mengumumkan mereka membatalkan kerjasama yang dipersetujui melalui satu memorandum persefahaman (MoU) dengan penaja konsert mereka Afjets Sdn Bhd.


Mereka juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan yang ada mengikut undang-undang berhubung isu berkenaan.-Malaysiakini