Lelaki Dakwa Teruk Dipukul Polis, Alami Lebih 50 Jahitan.
Seorang lelaki mendakwa dia telah teruk dipukul oleh polis
di sebuah setor barang di Bandar Baru Nilai sebelum dibawa ke Balai Polis Nilai
di mana dia mendakwa dipukul lagi.
Peguam M Manoharan berkata anak guamnya, Muhammad Izzatuddin
Mardzuki, sedar di hospital dengan lebih 50 jahitan selepas kejadian itu.
Izzatuddin membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Ibu
Pejabat Polis Daerah Seremban pada hari Khamis.
Dalam laporan polis itu, beliau mendakwa sekumpulan lelaki
yang mendakwa dari Kementerian Dalam Negeri cuba memasuki setor barang
keluarganya dan kemudian memukulnya pada pukul 3 pagi 25 Mei. Beliau kemudiannya
digari.
"Saya disepak dengan kasut boot, kepala dihentak ke
meja, ke lantai,dipukul di perut dan belakang," katanya sambil menambah
dia nampak empat orang lelaki berbaju biasa.
Katanya, seorang lelaki menggeledah sebuah kereta Kancil di
setor itu dan memaksanya berlutut di atas jalan raya di belakang setor itu.
"Kemudian seorang lelaki telah mengacu pistol ke dada
saya sambil menyatakan akan menembak saya dan akan berikan dadah pada saya.
"Kepala dan badan saya disepak dan dipukul sehingga
saya tersungkur. Saya diarah bangun dan kemudian disepak sehingga tersungkur
lagi," tambahnya.
Izzatuddin berkata, mereka kemudian meludahnya dan membuka
kasut untuk menamparnya.
Dibawa ke balai Nilai
Katanya, mereka mengambil wang RM100 yang di atas mejanya
dan juga kira-kira RM180 dari dompetnya, manakala seorang daripada mereka
memaki baju yang baru dibelinya dengan logo Volkswagen.
Izzatuddin berkata sebuah kereta polis kemudian tiba dengan
dua anggota polis yang beruniform dan dia telah dibawa ke dalam kenderaan itu
ke Balai Polis Nilai.
Tambahnya, seorang pekerja Indonesia di setor itu yang
bersama Fitri, yang dituduh memiliki dokumentasi palsu, turut dibawa ke balai.
Di balai polis, Izzatuddin berkata selepas ditanya mengenai
dokumentasi Fitri, beliau telah ditunjukkan gambar budak perempuan dan ditanya
sama ada dia mengenalilnya.
"Saya jawab tak kenal. Kemudian saya dipukul lagi.
Mereka ambil getah paip dan pukul badan, tapak kaki dan kaki sambil ditonton
oleh Fitri.
"Salah seorang lelaki berulangkali memberi amaran
kepada saya agar tidak beritahu orang saya dipukul polis, sebaliknya menyuruh
saya beritahu bahawa saya telah lari dari polis dan terjatuh ke dalam longkang,
"Ketika itu, saya meminta kad identiti polis dan salah
soerang lelaki itu mengeluarkan kad polis dan tunjukkan kepada saya.
"Saya turut disuruh melompat tinggi sepuluh kali sambil
menyebut perkataan Bro, kerana saya memanggil mereka dengan panggilan bro.
"Selesai lompat, seorang lelaki ambil kayu besbal dan
pukul belakang saya. Kemudian saya disuruh melompat lagi," katanya.
Izzatuddin katanya dia kemudiannya berasa sesak nafas, lalu
jatuh kerana pening-pening.
9 jam pembedahan
Beliau berkata, mereka menanggal pakaiannya dan hanya
tinggal seluar boxer pendek dan dibawa ke tandas untuk dimandikan dan dia
kemudiannya dibawa keluar dan mereka memasang pendingin hawa dengan kuat.
Izzatuddin berkata dia disuruh pakai baju lokap dan seluar
pendek biasa sebelum dibawa ke kereta polis.
"Semasa keluar dari bangunan itu, saya nampak lelaki
yang mengambil dan memakai baju baru Volkswagen saya tadi. Dia memandu kereta
tersebut. selepas masuk ke dalam kereta, saya terus tidak sedarkan diri.
"Saya hanya sedar di High Dependency Ward (HDW)
Hospital Seremban pada hari Khamis 26 Mei, sambil dikelilingi oleh ahli
keluarga saya
"Saya diberitahu bahawa saya telah dibawa dengan
ambulans kecemasan ke hospital dan menjalani pembedahan selama sembilan jam
dari pukul 2 petang sehingga 11 malam," katanya.
Manoharan, yang membangkitkan isu itu di laman Facebook
beliau, menuntut jawapan daripada pihak polis.
Malaysiakini telah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah
Seremban yang mengesahkan menerima laporan itu, sambil menambah bahawa siasatan
sedang dikendalikan oleh seorang pegawai dari Balai Polis Nilai.-Malaysiakini
Ulasan
Catat Ulasan