“Akhirnya Depan Adik-Beradik Aku Lafaz Cerai Pada Dia…”
Raya datang lagi. Aku cuma mahu berkongsi kisah aku agar
jangan ada yang mengulangi kesilapan yang sama. Aku berkahwin di usia yang
muda. Seawal usia 21 tahun, aku dan isteri aku sebaya. Aku bangga mempunyai
isteri yang cantik, lemah lembut, pengetahuan agama yang tinggi dan bersopan
santun.
Tetapi aku silap, membiarkan abang-abang dan kakak-kakak aku
membuli dan memperlekehkan isteri aku di hadapan saudara mara setiap kali kami
pulang ke kampung.
“Akhirnya depan adik-beradik aku lafaz cerai pada dia…”
Bila isteri mengadu, aku cakap dia mengada-ngada kerana
anggapan aku, adik beradik hanya sekadar bergurau sahaja. Gurauan yang akhirnya
menjadi penghinaan demi penghinaan terhadap maruah isteri, sedangkan aku hanya
mendiamkan diri walaupun ia berlaku di depan mata.
Selepas 10 tahun, aku mendapati isteri mula berubah. Dia
menjadi pemarah, bahasanya kasar. Makin aku marah, makin dia melawan. Yang
paling pelik bila pulang ke kampung aku, walau dikutuk abang-abang dan
kakak-kakak aku, isteri hanya tersenyum lemah.
Tetapi sebaik menaiki kereta untuk ke tempat lain, dia akan
menjadi perengus dan perkataan ‘bodoh’ tidak berhenti-henti diucapkannya. Kami
sentiasa bergaduh di atas segala perkara.
Akhirnya pada raya taun lalu, aku melafazkan cerai di
hadapan adik beradik apabila aku tidak tahan lagi dengan kata-kata penghinaan
abang-abang aku yang mengatakan aku ‘bodoh’ kerana isteri aku buat air tak
sedap mengikut selera mereka.
Kami bercerai. Aku seperti tidak keruan, sedangkan isteri
aku cuma menitiskan air mata sambil bibirnya mengukir senyuman pahit. Aku ikut
kata-kata abang-abang dan kakak-kakak aku yang mengatakan isteri aku akan
menyembah aku untuk merujuk semula. Aku cuma perlu tunjuk lagak sebagai seorang
lelaki.
Hari demi hari aku menunggu, bekas isteri menghilang bersama
4 anak kami. Sehingga habis tempoh edah, isteri tidak pernah telefon atau
datang untuk rujuk atau meminta nafkah anak-anak yang sengaja aku tak beri
kerana dihasut oleh adik beradik aku.
Akhirnya Ramadan ini, aku stalk bekas isteri. Rupa-rupanya
dia sudah berkahwin lain. Aku ekori siang dan malam, aku lihat anak-anak begitu
mesra dengan lelaki yang mereka panggil ‘papa’. Aku lihat bekas isteri sangat
menghormati lelaki itu.
Aku tidak dapat menahan diri, semalam aku sengaja solat
maghrib di masjid yang selalu mereka pergi untuk bertarawih. Aku sengaja solat
bersebelahan dengan lelaki itu.
Akhirnya aku tewas bila anak lelaki aku memanggil aku ‘ayah’
bila menyedari aku ada di situ selepas solat. Lelaki itu hanya senyum sambiul
mengusap kepala anak lelaki aku dengan mesra. Sedangkan aku tidak pernah sekali
pun menyentuh kepala anak-anak aku begitu.
Tanpa segan silu, aku bertanya apa yang dia lakukan sehingga
bekas isteri aku nampak sangat taat kepadanya?
“Kata-kata yang baik ada doa. Saya dan keluarga sentiasa
bercakap baik tentang Marliyana (bekas isteri) dengan sesiapa sahaja. Itu doa
dari kami untuknya,” katanya.
Aku terdiam, baru aku sedar, dari hari pertama aku
berkahwin, aku tidak pernah mendengar adik beradik aku berkata yang baik
tentang isteri aku. Yang aku dengar cuma, “Isteri kau tak pandai masak!”,
“Isteri kau buat air tak sedap!”, “Isteri kau masak tak sama macam keturunan
kitorang masak!”.
Walaupun hakikatnya kami hanyalah orang Felda dan tiada
keturunan mak bapa yang buat katering atau jadi Chef.
“Isteri kau pakai
cantik sebab nak mengorat jantan lain! dan bermacam-macam lagi yang aku tidak
mampu untuk kongsikan di sini. Dan aku sebagai suaminya ketika itu hanya
membiarkan sahaja tanpa menyedari kata-kata itu telah melukai isteri dan
merosakkan perkahwinan kami.
Jadi kepada para suami di luar sana, lindungilah isteri
masing-masing dari mulut-mulut jahat yang ada dalam keluarga anda. Jika tidak,
anda hanya akan ada isteri yang derhaka kerana kecewa dengan sikap ‘tidak
kisah’ suami dan akhirnya beraya bersendirian seperti aku pada tahun
ini.-Sumber : The Reporter
Ulasan
Catat Ulasan