Banduan Kes Rogol Dan Bunuh Pelajar Sekolah Berjaya Melarikan Diri.
Jakarta: Seorang banduan yang dihukum penjara seumur hidup
kerana membunuh dan merogol pelajar sekolah, melarikan diri dari penjara di
sini dengan menyamar sebagai perempuan.
Ketika melarikan diri, Anwar Kim An memakai baju batik,
bertudung dan bergincu serta berkaca mata hitam dilihat keluar dari penjara
Rutan Selemba pada Hari Raya lalu. Pakaian berkenaan diseludup masuk isterinya
ketika membuat lawatan sempena Aidilfitri.
“Anwar menukar pakaian perempuan itu dalam bilik yang semua
banduan bertemu anggota keluarga.
“Dia memakai gincu dan memakai cermin mata hitam sebelum
keluar dari penjara ditemani isteri dan dua anaknya,” kata jurucakap polis
Jakarta, Awi Setiyono.
Rakaman CCTV penjara yang disiarkan media menunjukkan Anwar
memakai baju perempuan berjalan keluar dari penjara sambil mendukung seorang
anaknya.
Menurut media Indonesia, ketika kejadian, hanya 27 pengawal
bertugas mengawasi 4,500 pelawat di penjara berkenaan.
Awi berkata, Anwar menukar pakaian wanita tanpa disedari
sesiapa kerana bilik lawatan itu penuh dengan keluarga banduan dan hanya
dikawal beberapa pengawal dan pemeriksaan keselamatan hanya terhadap pelawat
lelaki.
“Isteri Anwar disoal siasat kerana membantu suaminya
melarikan diri namun tidak ditahan kerana mempunyai anak masih kecil,”
jelasnya.
Polis kini melancarkan operasi memburu banduan itu yang baru
empat bulan menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Anwar didapati bersalah pada Oktober lalu, kerana merogol
dan membunuh pelajar perempuan berusia 12 tahun.-Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan