Jangan Halalkan Orang Yang Berhutang
Perkara biasa jika ada kawan-kawan yang berhutang. Perkara
biasa juga jika ada kawan-kawan yang tak bayar hutang.
Ada ketika tuntut semula hutang seolah-olah seperti kita
pula yang meminta sedekah. Mukanya selamba, muka kita pula yang malu-malu alah.
Ada juga sehingga putus silaturrahim.
Ramai yang malas ambil pusing lalu halalkan sahaja. Sikap
yang bagus tapi agak kurang beruntung.
Saya nasihatkan jangan dihalalkan orang berhutang itu. Tapi
berikan dia masa untuk membayarnya.
Dari Sulaiman bin Buraidah dari ayahnya katanya;
“Saya mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam
bersabda, ‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan,
dia akan mendapat pahala satu sedekah untuk setiap hari’.
“Kemudian aku mendengar baginda berkata, ‘Sesiapa yang
memberi masa kepada orang yang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat dua
pahala sedekah untuk setiap hari’.
“Aku pun bertanya, Wahai Rasulullah, engkau kata, ‘Sesiapa
yang memberi masa kepada orang berhutang yang kesempitan, dia akan mendapat
pahala satu sedekah untuk setiap hari’. Kemudian aku mendengar engkau berkata,
‘Sesiapa yang memberi masa kepada orang yang berhutang yang kesempitan, dia
akan mendapat dua pahala sedekah untuk setiap hari’.
Lalu baginda bersabda, ‘Dia akan dapat pahala satu sedekah
untuk setiap hari sebelum tiba waktu pembayaran. Jika tiba masa pembayaran lalu
dia masih memberi masa, dia akan mendapat pahala dua kali sedekah untuk setiap
hari’.” [HR Ahmad 22942; Isnaduh Sahih]
Contoh, jika anda memberi tempoh 2 bulan untuk melunaskan
hutang kepada si peminjam, maka selama 2 bulan itu anda akan mendapat satu
pahala sedekah setiap hari, Insya’Allah.
Apabila telah sampai tempoh dua bulan tadi, anda beri lagi
masa kepada peminjam, maka ketika itu anda akan mendapat 2 pahala sedekah
setiap hari, Insya’Allah.
Tapi apa nilainya satu pahala sedekah itu? Banyakkah? Saya
bawakan beberapa hadis lain untuk menunjukkan betapa besarnya satu pahala
sedekah itu.
“Sedekah memadamkan dosa sepertimana air memadamkan api.”
[HR al-Tirmidzi 2616; Sahih]
“Hindarkan dirimu dari Neraka walaupun hanya dengan separuh
kurma, jika tidak ada maka dengan bertuturlah kata yang baik.” [Muttafaq
‘alaih]
“Setiap orang di bawah naungan sedekahnya sehingga
diputuskan hukum di antara manusia.” [HR Ahmad dan Hakim dan disahihkan oleh
Al-Albani]
Dan ada banyak lagi hadis tentang kelebihan sedekah
termasuklah mengubati penyakit jasmani.
Begitu besar pahala sedekah sehingga boleh menghapuskan
dosa, menghindarkan Neraka, menjadi naungan di Mahsyar, dan ada pelbagai hadis
lain yang jika anda teliti menunjukkan amalan sedekah ini adalah amalan yang
besar manfaatnya.
Dan anda pula memiliki pahala sedekah setiap hari, hanya
kerana anda melanjutkan tempoh kepada peminjam untuk membayar hutang. Boleh
jadi hutang itu hanya RM10 sahaja. Atau bahkan mungkin RM1?
Jadi, biarlah jika hutang anda berpuluh tahun tidak dibayar,
anda tetap mendapat pahala sedekah setiap hari yang sebenarnya sangat besar di
sisi Allah.
Dan akhir sekali, jika si peminjam telah mampu untuk
membayarnya walaupun setelah dia mati melalui warisnya, maka ketika itu, anda
sedekahkanlah sahaja kerana ada hadis lain yang berbunyi;
“Sesiapa yang memberi masa kepada orang berhutang yang
kesempitan atau menghalalkan hutang itu, Allah akan melindunginya di bawah
bayanganNya.” [HR Muslim 7512].
Allahua’lam. Semoga bermanfaat. Barakallahufikum.
Sumber : Mynewshub.cc, Ohmymedia
Ulasan
Catat Ulasan