ketua kongsi Gelap!!! Geng 36, Geng 08, Geng 18, Geng Satu Hati Ma­suk Perangkap Polis.


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sebanyak 115 suspek yang dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap Geng 36, Geng 08, Geng 18 dan Geng Satu Hati termasuk ketua dan beberapa orang kanan mereka ma­suk perangkap polis apabila ditahan menerusi Op Cantas Khas 2 yang dijalankan di seluruh negara sejak Sabtu lalu.

Ekoran operasi besar-besaran yang masuk hari keenam itu, ahli-ahli geng kongsi gelap yang masih bebas dipercayai mula melarikan diri ke Thailand bagi mengelak ditahan pihak polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengenal pasti ahli geng kongsi gelap yang dipercayai mula menyelinap ke sempadan negara itu.

“Kita yakin polis Thailand akan memberi kerjasama baik kepada kita untuk kenal pasti individu berkenaan. Kerjasama ini penting kerana geng kongsi gelap ini dipercayai turut meneruskan kegiatan haram mereka di sana,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohmad, dalam tempoh enam hari pelaksanaan operasi terbabit, pihaknya telah memberkas 1,444 individu yang sebahagian besarnya adalah lelaki selain wanita berusia lingkung­an 20-an hingga 30-an selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 33,684 individu di seluruh negara.

Katanya, turut dirampas enam senjata api dan 20 butir peluru selain 54 senjata berbahaya termasuk pisau, parang, pedang dan kuku kambing.

“Sebanyak 115 suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Pertubuhan 1966, Akta Senjata Api 1960 (enam), Kanun Keseksaan (179), lain-lain (149) manakala 995 orang lagi didokumentasikan untuk kegunaan masa hadapan.

“Kita juga telah membuka sebanyak 444 kertas siasatan yang melibatkan pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Tambah Mohmad, operasi tersebut akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk mencegah jenayah dan fokus utamanya adalah menggempur sarang penjenayah yang dipercayai memiliki senjata api dan terlibat dalam ke­giatan gengsterisme selain mengesan penjenayah yang dikehendaki.

Akhbar sebelum ini melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya Op Cantas 2 dilancarkan dalam usaha membendung aktiviti jenayah termasuk beberapa kes tembak sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, peningkatan kes jenayah berat seperti tembak di negara ini tiada kaitan dengan kelemahan undang-undang, sebaliknya memerlukan beberapa penambahbaikan dibuat se­perti terhadap pagar sempadan yang memudahkan penyeludupan sen­jata api. Utusan Online
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.