Mangsa Buli Tinggalkan Nota Sebelum Bunuh Diri, 'Guru Sekolah Tak Buat Apa-Apa'

Mangsa Buli Bunuh Diri,

NEW YORK: Seorang remaja 13 tahun dari Staten Island, New York, mengambil tindakan membunuh diri pada Khamis lalu selepas dibuli oleh pelajar sekolahnya.

Portal berita The New York Daily News melaporkan, Daniel Fitzpatrick sempat meninggalkan nota yang mendakwa rakan-rakannya di Holy Angels Catholic Academy tidak lagi bercakap dengannya dan tidak suka padanya.

"Saya putus asa. Guru-guru juga tidak berbuat apa-apa,” tulisnya, yang sepatutnya memulakan pembelajaran di sekolah baharu iaitu Xaverian High School di Brooklyn.

Kematian Daniel adalah secara menggantung diri, kata jurucakap pemeriksaan perubatan New York, Julie Bolce, kepada media tempatan.

Bapa Daniel, yang juga bernama Daniel Fitzpatrick, telah memuat naik rakaman video ke akaun Facebooknya pada Sabtu untuk menyatakan perasaan sedihnya serta mengucapkan terima kasih kepada pihak yang peduli tentang nasib anaknya.

Bapanya juga mengecam tindakan rakan-rakan sekolah yang dikatakan ‘membuli’ anaknya, selain mempertikaikan tenaga pengajar di  sekolah Katolik itu yang tidak membantu anaknya ketika remaja itu membuat aduan.

Menurutnya, daripada nota anaknya itu, pihak sekolah sekadar memberi jawapan "Jangan khuatir. Semuanya akan berakhir", setiap kali anaknya mengadu masalahnya.

Pihak Holy Angels Catholic Academy tidak membuat sebarang kenyatan berhubung perkara itu.

"Cerita tentang anak saya sekarang boleh dilihat di seluruh dunia, dan semua orang kini tahu penderitaannya. Saya amat merindui anak saya.

“Tiada ibu bapa yang sepatutnya mengebumikan anak sendiri. Tiada anak yang harus mengalami sepertimana yang anak saya lalui,” ujarnya dalam video itu.

Dia juga meninggalkan pesanan kepada ibu bapa pelajar yang membuli anaknya.

“Kepada ibu bapa pelajar yang membuli anak saya, apa yang saya ingin katakan adalah semoga kalian dapat merasai apa yang keluarga kami tanggung sekarang ini. Kalian dapat bersama anak-anak kalian setiap hari, saya tidak lagi dapat berbuat demikian. ‘Raksasa kecil’ kalian telah merampas itu daripada saya dan isteri,” luahnya.

Ibu mangsa, Maureen Fitzpatrick memberitahu, dia masih tidak dapat melupakan nama-nama rakan sekolah yang ditulis dalam nota anaknya.

“Dalam nota itu, anak saya mahu rakan-rakannya itu sedar apa yang dilakukan ke atas dirinya”.
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.