Nahas dalam kemalangan, Bongkar Rahsia Suami.
Pasangan pengantin yang baru bernikah beberapa hari lalu,
Rohayu Abas, 29, dan suaminya, Abdullah Suhaime Abd. Rahman, 30, maut apabila
kereta Ford Fiesta mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 42.2,
Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran stesen Petron, Batu 1 Jalan Mawai di sini
hari ini.
Turut terbunuh dalam kemalangan itu ialah ibu pengantin
lelaki, Rokiah Abu Bakar, 52.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Rahmat Othman
berkata, nahas berlaku pada pukul 5.05 pagi apabila kereta yang dinaiki mereka
dari arah Mersing menuju ke Johor Bahru hilang kawalan lalu bertembung dengan
lori berkenaan.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di tempat
kejadian, manakala pemandu lori, Mohamad Amirul Faiz Azman, 23, yang berasal
dari Felda Pasak di sini, hanya cedera ringan di mata akibat terkena serpihan
kaca dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Semasa kejadian, Abdullah yang berkhidmat di Hospital
Sultanah Aminah (HSA) dikatakan duduk di sebelah pemandu, manakala ibunya di
bahagian belakang. Rokiah cedera teruk di bahagian kepala dan terhumban keluar
akibat kemalangan itu,” katanya.
Rahmat berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang
dari kampung Rohayu di Bandar Permaisuri, Terengganu ke Johor Bahru atas urusan
keluarga.
Sementara itu, isteri pertama mangsa, Farah Fadila Faizal,
27, berkata, dia terkilan kerana hanya mengetahui suaminya berkahwin lain
selepas dimaklumkan dengan khabar sedih itu oleh pihak polis.
“Sebaik sahaja dimaklumkan tentang kemalangan itu, barulah
saya tahu yang suami sudah bernikah dengan wanita lain,” jelasnya.
Dia yang sudah dua tahun berkahwin dengan Abdullah Suhaime
dan sedang hamil empat bulan memberitahu, dia dimaklumkan mengenai nahas itu
menerusi WhatsApp daripada rakan-rakan.
“Ahad lalu suami beritahu bahawa dia pergi kursus selama
beberapa hari. Saya ada kirim khidmat pesanan ringkas menerusi telefon beberapa
hari lepas mengadu kaki saya sakit, namun dia tidak balas.
“Saya juga tidak tahu ibu mentua dan wanita itu turut ikut
bersamanya sehinggalah pagi ini apabila dimaklumkan tentang nahas itu,”
katanya ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Sementara itu, adik Abdullah Suhaime, Maizatul, 25,
memberitahu, dia mendapat berita kira-kira pukul 7 pagi daripada ibu saudaranya
yang dihubungi anggota polis sebelum mereka terus ke HKT bersama bapanya Abd.
Rahman Ali, 58.
Dia hanya mengetahui ibu, abang dan kakak iparnya maut
sebaik sahaja sampai di balai polis. - sembanggagah.blogspot.my
Ulasan
Catat Ulasan