Pertama Kali – Pertukaran Jantina Dibenarkan Di Negara Ini.
MAHKAMAH Rayuan negara ini mencipta sejarah apabila buat
pertama kalinya meluluskan permohonan penukaran nama dan jantina seorang wanita
kepada lelaki dalam Mykad baru-baru ini.
Peguam William Lim dan Muhammad Izzat Md Jonid yang mewakili
plaintif yang tidak membenarkan namanya disiar, telah bertungkus-lumus
mempertahankan permohonan untuk mengiktiraf anak guam mereka itu sebagai
transgender.
Akhirnya, pada 18 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur
telah memutuskan untuk berpihak kepada plaintif berkenaan.
Plaintif, yang dilahirkan sebagai perempuan, telah menerima
pengesahan bahawa jantina dia kini sah sebagai seorang lelaki.
Hakim S. Nantha Balan telah mengarahkan Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) untuk menukar nama dan digit terakhir dalam MyKad untuk
menunjukkan gender baharunya.
“Plaintif ada hak dalam perlembagaan di bawah Artikel 5(1)
dalam Perlembagaan Persekutuan untuk hidup dengan maruah sebagai lelaki dan
diberikan hak sebagai lelaki,” katanya dalam dokumen setebal 41 muka surat yang
dikeluarkan tiga minggu selepas itu.
Peguam yang mewakili plaintif mengesahkan pada Jumaat lalu
bahawa JPN telah memfailkan notis untuk mencabar keputusan mahkamah rayuan
tersebut. – MYNEWSHUB.CC
Ulasan
Catat Ulasan