Polis Kongsi Hasil Bedah Siasat Budak 2 Tahun Mati Didera Kakak Dan Abang Ipar
Ayat Nudzirah Nur Safiah Sabaruddin, 2, yang meninggal dunia
di Paka dekat sini semalam dipercayai didera oleh ahli keluarga sendiri.
Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka pukul 3.45 petang
oleh kakak dan abang iparnya namun disahkan telah meninggal dunia beberapa jam
yang lalu.
Dia dikatakan ditinggalkan oleh ibu bapanya di bawah jagaan
pasangan itu selepas Aidilfitri lalu kerana mereka bekerja di Kuala Lumpur.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Zailani Yaacob
berkata, pasangan yang menjaga kanak-kanak berkenaan mendakwa mangsa sudah
meninggal dunia pada pukul 12 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan
terhadap tubuh mangsa mendapati banyak kesan mencurigakan.
“Keseluruhan badan kanak-kanak malang itu mempunyai banyak
kesan parut dan luka lama di belakang kaki kiri, lebam di dahi, luka di bibir
dan luka di kepala bahagian kiri yang masih berbalut.
“Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pegawai
perubatan berkenaan, namun punca kematian belum diketahui.
Bedah siasat dilakukan hari ini dan kita masih menunggu
keputusan pihak hospital,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zailani berkata, susulan kejadian itu, kakak dan abang
ipar mangsa yang tinggal di Tebing Tembah Paka telah ditahan di hadapan bilik
unit forensik Hospital Dungun malam tadi.
“Pasangan suami isteri yang kedua-duanya berusia 21 tahun
telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman dan mendapat perintah tahanan reman
selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
“Kakak mangsa difahamkan tidak bekerja manakala suaminya
bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat tempatan,” ujar
beliau.
Tambah Ahmad Zailani, kes disiasat mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ulasan
Catat Ulasan