Saya Amat Malu Dengan Sikap Malas Dan Pengotor Isteri Saya.
Rumah tangga dan persekitaran yang bersih bagaikan taman
bunga yang segar, menjanjikan ketenangan kepada penghuninya.
Pun begitu tanpa kerajinan, segala yang diinginkan itu tidak
akan berlaku. Tambahan pula, bagi mereka yang bekerja dan tidak punya waktu
untuk membersih serta menghias rumah agar sentiasa sedap dipandang mata.
Saiz rumah juga bukan ukuran tetapi kebersihan akan
membezakan segalanya. Ramai yang impikan ketenangan di dalam rumah setelah
penat berada di luar tetapi tidak semua kita yang berpeluang untuk
mengecapinya.
Tugas menguruskan rumah tangga adalah amanah yang
dianugerahkan kepada suri rumah atau pembantu rumah.
Tetapi adakah semua isteri sanggup berbuat demikian?
Jawapannya ada pada kisah yang ingin diceritakan Zaidi, yang
kini makan hati dengan sikap isteri nya yang tidak pandai mengurus rumah
tangga.
Menurut Zaidi, isteri orang lain juga bekerja dan penat tetapi
mereka masih ada masa untuk menguruskan rumah dan menjaganya supaya bersih
sentiasa.
Sayang sekali isterinya seorang yang pemalas dan ini menjadi
masalah besar kepada Zaidi sehingga dia melabelkan isterinya Aida (bukan nama
sebenar) sebagai seorang yang pemalas.
"Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak
10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun.
"Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak
mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mentua saya
selepas mereka balik sekolah.
"Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang
senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau
memasak setiap kali balik kerja.
"Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan,
cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya
harapkan tidak berlaku.
"Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang
dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata
kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan.
"Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan
baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat
kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.
"Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil.
Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli
dari restoran berhampiran.
"Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang
oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.
"Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan
dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia
melenting dan merajuk.
"Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam
itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah
seperti sebuah setor barangan terpakai.
"Masa yang berkualiti di rumah tidak dimanfaatkan untuk
membereskan kerja-kerja rumah yang sepatutnya tetapi lebih banyak meluangkan
masa di rumah ibunya dan anak-anak juga dibawa ke sana.
"Saya tidak menghalang mereka ke sana tetapi saya
berharap dia akan tolong kemas rumah dan sempurnakan tanggungjawab sebagai
isteri dan ibu terlebih dahulu.
"Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu
sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang.
Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan
ke rumah.
"Saya seorang yang pembersih dan suka rumah yang cantik
dan bersih. Saya telah dididik menjaga kebersihan rumah sejak kecil. Ibu seorang
yang rajin mengemas rumah.
"Rumah kami sentiasa bersih. Ibu seorang yang sangat
mementingkan kebersihan dan saya bangga mempunyai ibu yang rajin dan pembersih.
"Namun semua itu tinggal kenangan kerana saya telah
berkeluarga dan sayangnya suasana sebegitu tidak lagi dapat saya kecapi.
"Saya kesal kerana isteri tidak mengambil berat teguran
saya malah sepatah saya kata sepuluh yang dia jawab sehinggakan saya ada kala
hilang sabar.
"Paling saya malu kerana kami tinggal di kawasan
perumahan mewah yang sepatutnya menjadi teladan kepada orang lain. Ini tidak,
dibandingkan dengan rumah orang lain, rumah saya paling buruk dan tidak
terurus.
"Bukan saya tidak berusaha ke arah itu tetapi jika saya
seorang yang beria-ia, isteri buat tidak kisah, buat apa?
"Sekarang keadaan semakin runcing. Isteri asyik
berjalan makan angin, sekejap dalam negeri sekejap luar negara. Dia lebih suka
melayan kawan-kawan kerjanya daripada saya dan anak-anak.
"Tidak salah pergi berjalan tetapi mesti ada
tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak. Uruskan rumah tangga dulu, susun
atur perabot yang lintang pukang dalam rumah agar saya yang ada dalam rumah
boleh bernafas!
"Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya
berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas
dan tidak suka mengemas.
"Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu
daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa
tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak
peduli.
"Jangan kata mengemas, memasak juga jarang dia buat.
Yang dia tahu makan, tidur dan berjalan.
"Kasihan anak-anak kami yang terpaksa makan makanan di
luar atau di rumah ibu. Entah di mana silapnya sehinggakan Aida jadi pemalas
begitu sekali.
"Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar
dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya
layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian.
"Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa,
malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas.
"Anak sulung saya seorang perempuan dan masih di bangku
sekolah rendah sering bertanya kepada ibunya, kenapa rumah kita tidak secantik
rumah jiran.
"Anda tahu apa jawapan ibunya, Mama penat!.. Sepatutnya
jawapan yang paling tepat adalah mama malas!.
"Saya mahu dia faham falsafah kehidupan dalam suasana
persekitaran yang bersih dan sihat. Semoga Allah akan membuka pintu hati Aida
untuk berubah.
"Saya juga mengharapkan saya boleh bersabar dengan
kerenah Aida. Jika tidak saya pasrah kepada ketentuan Allah SWT," keluh
Zaidi menamatkan ceritanya.
Saya mengucapkan syabas kepada Zaidi kerana berani meluahkan
perasaannya ke ruangan ini. Saya percaya ramai lagi suami yang menghadapi
masalah seperti Zaidi tetapi enggan berkongsi masalah mereka.
Saya berharap Zaidi akan terus bersabar dan membimbing
isterinya untuk kembali kepada tanggungjawabnya. Anggaplah ini juga sebagai
ujian dalam rumah tangga.
Masih belum terlambat untuk anda membetulkan keadaan.
Berterus terang dan membimbing adalah cara terbaik menangani masalah ini.
Anda harus menerima diri Aida seadanya, ertinya segala
kelemahan dan kekurangan dirinya hendaklah diterima dengan reda. Itu sudah
ketentuan jodoh anda.
Pada masa yang sama, sebagai suami anda perlu bertindak
lebih tegas. Cadangan saya ambil cuti panjang dan bergotong royong mengemas dan
membersihkan rumah bersama anak-anak.
Menamatkan catatan, pesanan saya seorang suami akan merasa
tenang andai isterinya menjadi seorang yang penurut dan boleh menyejukkan
hatinya di kala dia gundah. Realitinya, kehadiran wanita di dalam hidup seorang
lelaki, ibarat matahari yang tidak pernah terbenam. Sumber,Alam Viral.
Ulasan
Catat Ulasan