Sabtu, 13 Ogos 2016

Video Atlet Judo Mesir Enggan Bersalam Dengan Atlet Israel.

RIO DE JANEIRO: Atlet judo Mesir, El Shehaby enggan bersalaman dengan atlet Israel, Or Sasson selepas tamat perlawanan membabitkan kedua-dua atlet terbabit, sekali gus mengundang ejekan penonton dan menimbulkan persoalan berhubung isu toleransi pada kejohanan terbabit.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuka siasatan disiplin selepas El Shehaby yang tewas pusingan pertama itu apabila terus berundur ketika Sasson menunduk hormat dan cuba menghulurkan tangannya untuk bersalam.

El Shehaby, 32, menerima tekanan daripada penyokongnya di laman media sosial supaya tidak bertanding menentang atlet Israel itu memandangkan ia bakal memalukan agamanya.

Bagaimanapun, kedua-dua atlet terbabit enggan mengulas lanjut berhubung insiden yang berlaku di Arena 2 Carioca itu.

Pegawai IOC menyatakan presidennya, Thomas Bach mengarahkan siasatan disiplin sejurus mendengar mengenai insiden terbabit.

"Kami percaya semangat Olimpik adalah untuk mengeratkan hubungan dan bukannya memburukkan lagi keadaan," kata jurucakap IOC, Mark Adams pada sidang media.

"Apa yang berlaku tidak dapat diterima dan kami sentiasa mengingatkan mengenai nilai Olimpik kepada semua atlet," katanya.

Jurucakap Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF), Nicolas Messner pula berkata, judoka tidak diharuskan untuk bersalaman mengikut undang-undang IJF dan hanya perlu menunduk hormat yang mana ia dilakukan El Shehaby selepas dipanggil semula ke tengah gelanggang. "Namun, kes ini akan diteliti dan dianalisis untuk melihat sama ada tindakan selanjutnya perlu diambil," katanya kepada Reuters. - Berita Harian Online