Bukti Umno Johor Sudah Mula Goyah.
JOHOR BAHRU - Tindakan dua veteran Umno Johor keluar parti
adalah satu tamparan besar kepada Umno negeri ini.
Ia jelas menunjukkan ramai di antara ahli Umno sekarang
sebenarnya tidak yakin lagi dengan parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Timbalan Pengerusi Keadilan Johor, Jimmy Puah Wee Tse
berkata, beliau menyambut baik berita berkenaan.
“Saya percaya dua kes ini, bukan kes bersendirian dan
dijangka lebih ramai pemimpin Umno keluar parti serta berhijrah ke parti lain,
untuk meneruskan perjuangan politik mereka pada masa terdekat,” katanya dalam
satu kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, dua ahli veteran Umno Johor yang merupakan bekas
wakil rakyat negeri ini, iaitu Datuk Baharom Abdul Ghani dan Tosrin Jarvanthi
mengambil keputusan keluar parti.
Baharom adalah pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, manakala
Tosrin pula adalah bekas Ketua Umno Bahagian Senai.
Jimmy berkata, beliau percaya, terdapat juga segolongan
besar ahli Umno yang mungkin tidak keluar parti tetapi akan menolak parti itu
dalam pilihan raya akan datang.
“Silent majority ini akan menjadi penentu dalam PRU14. Umno
Johor yang sekian lama dikatakan kubu Umno kini nampaknya sudah mula goyang.
“Dengan krisis kepimpinan dan kemunculan skandal kewangan
yang tidak dapat dijelaskan oleh pimpinan Umno sendiri, ramai ahli dalam Umno
sudah mula sedar bahawa masa hadapan negara dan generasi muda hanya dapat
diselamatkan sekiranya Umno tumbang,” katanya.
Tambahnya, pada PRU13, pembangkang telah berjaya memenangi
lima kerusi Parlimen serta 18 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor dan ia satu
prestasi yang tidak pernah berlaku di arena politik Johor.
“Dengan berita terkejut hari ini, kemungkinan besar landskap
politik Johor bakal berubah sekali lagi,” katanya.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan