Hukum Berjimak Sebelum Mandi Wajib.. Lepas Jimakkan Boleh Mandi, Ramai Pembaca Keliru..
Soalan:
Saya sudah bersih daripada didatangi haid. Apakah boleh
sekiranya saya membenarkan suami saya menyetubuhi saya sedangkan saya belum
lagi mandi wajib dan apakah hukumnya. Adakah saya berdosa terhadap suami saya
sekiranya suami saya tidak mengetahuinya?
Jawapan:
Syekh Mahmud Khitab As Subki mengatakan, bahawa menurut
kebanyakan para ulama Jumhur persetubuhan yang dilakukan sehabis berhentinya
darah haid sebelum mandi adalah haram, sekalipun berhentinya itu pada akhir
masa haid yang terpanjang.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 222
yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu tentang haid, katakanlah; “Ianya
kotor (mudarat), oleh itu hendaklah kamu menghindarkan diri dari isterimu
(jangan menyetubuhinya) dan jangan kamu hampirinya sebelum mereka suci.
Apabila mereka telah suci (mandi), datangilah mereka
sebagaimana yang telah diperintahkan Allah ke atas kamu. Sesungguhnya Allah
menyukai orang yang bertaubat dan yang membersihkan diri”.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis
riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika Fatimah binti Abi Hubaisy menemui
Baginda mengenai masalah haid dan istihadhah.
Maksudnya: “Maka jika datang haidhmu, maka kamu
tinggalkanlah sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu
(tamat), maka bersihkanlah dari dirimu darah haidh (mandilah) kemudian
sembahyanglah”.(Hadis riwayat al-Bukhari)
Secara dasarnya darah haid itu bukan sahaja menjijikkan
kepada orang lain, malah bagi perempuan yang mengalami haid itu sendiri. Kerana
itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haid walaupun menggunakan kondom
adalah sangat tidak wajar, di samping ianya mendatangkan mudharat.
Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram
dan melakukannya dengan sengaja merupakan dosa besar dan pelakunya disunatkan
membayar kaffarah.
Jika anda telah terlanjur melakukan sesuatu perkara yang
dilarang dalam agama, sedangkan anda tidak mengetahui kedudukan hukum yang
sebenarnya, maka segeralah bertaubat kepada Allah, dan berhati-hatilah dalam
mengerjakan syariat yang telah ditentukan Allah SWT. Hanya kepada Allah kita
semua berserah diri dan hanya Allah Yang Maha Pengampun. Wallahu A’lam.-Islam
Itu Indah
Ulasan
Catat Ulasan