Polis Berjaya Menangkap Gadis Kolej Tawar Khidmat Seks Di Hotel Bajet.
Melaka – Gadis kolej seawal usia 19 tahun telah menawarkan
perkhidmatan seks di hotel-hotel bajet di sini pada harga antara RM165 hingga
RM300.
Dua adik-beradik yang dikatakan menjadi ‘bapa ayam’ mereka
turut didakwa mempunyai kaitan dengan seorang anggota polis.
Bagaimanapun, aktiviti pelacuran itu berjaya dihentikan
apabila pasukan polis di Melaka melakukan penyamaran untuk mengesan perniagaan
haram ini.
Menurut sumber, beberapa detektif telah bertindak sebagai
pelanggan dengan cara berbual dengan bapa ayam terbabit melalui aplikasi
WeChat.
Hasil perbualan, mereka mendapati bahawa pelajar kolej
tempatan, pelajar Thai dan Vietnam telah menawarkan khidmat seks melalui
tempahan dalam talian.
Setiap sesi dikenakan bayaran antara RM250 RM300 bagi gadis
tempatan, manakala warga asing dikenakan bayaran antara RM165 dan RM200.
Tempat pertemuan adalah di hotel-hotel bajet yang terletak
di sini.
Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din pada Jumaat berkata
beliau telah meletakkan tumpuan khas dalam melakukan tindakan terhadap sindiket
pelacuran dan pusat perjudian haram.
Dalam satu sidang akhbar di Balai Polis Banda Hilir di sini,
Ramli mendedahkan bahawa polis berjaya menyelamatkan tiga pelajar kolej berusia
antara 19 dan 21 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, pada 26 Ogos
lalu.
Beliau berkata dua adik-beradik bapa ayam, yang berumur 24
dan 26 tahun juga telah ditangkap dan kini ditahan reman.
“Kami telah merampas semua bukti, termasuk kondom, di sebuah
hotel yang digunakan oleh bapa ayam terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, rangkaian pelacuran ini telah
aktif di sini selama sebulan,” katanya, Jumaat.
Ramli berkata dalam tindakan susulan jam 1 pagi pada Selasa,
polis menahan dua lelaki berusia 37 dan 40 tahun, juga kerana melacurkan tiga
wanita warga asing berusia antara 25 dan 29 tahun.
Sindiket kedua itu juga menggunakan media sosial untuk
mempromosikan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
Ramli berkata, mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan
di Johor dan polis kini sedang memburu sindiket lain yang menjalankan kegiatan
seperti ini.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam
Pendidikan Melaka (Magpie) memuji tindakan polis melumpuhkan rangkaian
pelacuran melibatkan pelajar kolej.
Chee Kin dalam satu temu bual di sini berkata, rangkaian itu
telah wujud untuk beberapa ketika tetapi sukar untuk dikesan kerana mereka
menggunakan aplikasi di telefon.
“Sebelum ini, kami menerima banyak panggilan daripada ibu
bapa yang telah mendengar tentang sindiket melibatkan pelajar kolej.
“Tindakan tegas polis akan menghalang ahli-ahli sindiket
lain daripada mengeksploitasi pelajar kolej,” kata Chee Kin. – mStar
Ulasan
Catat Ulasan