Qu Puteh Tak laku, Jangan Salahkan Penyokong Bola Sepak Kelantan – Annuar

Pengasas dan pemilik Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman atau Vida tidak seharusnya menyalahkan penyokong bola sepak Kelantan apabila produk kecantikan syarikatnya tidak mendapat sambutan, demikian kata Tan Sri Annuar Musa.

Annuar mengulas keluhan Vida yang baru-baru ini meluahkan kekecewaan sikap penyokong bola sepak yang enggan membeli produk keluaran syarikatnya selain kecewa dengan prestasi hambar pasukan The Red Warrior Pamoga Qu Puteh (TRWPQP).

“Setiap kali saya taja mana-mana program, ia beri impak positif dari segi jualan dan saya boleh teruskan tajaan. Tapi berlainan pula dengan bola, nama naik tapi dari segi pembelian produk tidak ada,” keluh Vida seperti dilaporkan Selasa lepas.

Mengulas keluhan tersebut, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata Vida sepatutnya menyedari sukan bola sepak dan produk kecantikan adalah dua perkara yang berbeza.

“Dia beritahu kata produk dia tak laku, dia marah pada peminat (penyokong bola sepak). Tak boleh begitu. Produk yang dijual, tak semestinya peminat bola yang beli. Mereka berapa orang saja nak pakai produk putihkan muka.

“Sebab itu jangan marah dengan penyokong Kelantan. Ia dua perkara yang berbeza,” katanya dipetik dari laporan berita portal MalayMail dan Mstar.

Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata pasukan bola sepak Kelantan telah berusaha memberikan yang terbaik terutama dalam membantu mempromosikan produk kecantikan milik Vida dari segi publisiti.

“Dia jual produk kosmetik, yang penting hendakkan penjenamaan. Itu pasukan Kelantan dah buat. Penaja yang paling banyak dapat publisiti adalah Qu Puteh.

“Tetapi soal produk boleh jual atau tidak, itu faktor lain, saya tak boleh jawab, saya beritahu dia saya tak pandai berniaga. Tetapi banyaklah faktor naik turun bebniaga ni,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Vida meminta KAFA melepaskannya dari kontrak penajaan selama dua tahun kepada pasukan bola sepak Kelantan secara baik.


“Daripada timbul masalah pada masa akan datang lebih baik saya dilepaskan secara baik. Kalau boleh saya tak nak isu ini berpanjangan kerana kedua-dua pihak ada kesilapan masing-masing,” kata Vida. – SuaraTV
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.