Jumaat, 2 September 2016

Seorang Wanita Sanggup Mengaku Bukan Islam Elak Dicekup (Jais)

AMPANG – Seorang wanita warga asing tergamak mengaku bukan beragama Islam bagi mengelak dicekup bersama pasangannya dalam serbuan Op Ambang Merdeka, baru-baru ini.
Pasangan tersebut antara 19
pasangan yang ditahan dalam operasi cegah maksiat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim berkata, Ahmad Nawi Othman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota penguat kuasa melakukan serbuan di beberapa hotel di sekitar Ampang Jaya bermula pada jam 1 pagi.

“Pekerja sebuah butik berusia 20 tahun itu ditahan bersama pasangannya berusia 26 tahun.

“Dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, malah mendakwa pasportnya telah tamat tempoh,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan memberi alasan terpaksa tinggal di hotel itu kerana masalah keluarga.

“Teman lelaki kepada wanita tersebut merupakan pekerja sebuah restoran memberitahu kedua-dua keluarga mereka mempunyai masalah.

“Pasangan tersebut turut mendakwa telah berkahwin tetapi tidak didaftarkan di jabatan agama,” katanya.

Operasi yang dijalankan bersama Rela itu turut menahan seorang duda bersama pasangannya juga warga asing di hotel berasingan.

Ahmad Nawi berkata, lelaki berusia 45 tahun itu bekerja sebagai kerani, manakala pasangannya pula tidak bekerja.

“Wanita berusia 35 tahun itu dipercayai bukan beragama Islam mendakwa telah mengenali lelaki tersebut sejak empat tahun lalu dan mahu mengahwini lelaki itu,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.-Sinar Harian