Video Budak Perempuan Tak Gentar Perompak Berkapak
Auckland – Seorang budak perempuan berusia enam tahun
digelar kanak-kanak paling berani di negara itu selepas tindakan beraninya
berdepan perompak bersenjatakan kapak di kedai bapanya dan membawa pekerja ke
tempat selamat.
Dalam kejadian petang Isnin lalu, kedai elektronik milik
Suhail Patel diceroboh enam perompak yang turut mengancam kakitangannya
menggunakan kapak.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anak Patel,
Sarah lari dan terjatuh sebelum meluru ke arah perompak memegang kapak yang
sedang mengancam seorang kakitangan.
Lelaki terbabit yang nyata terkejut terpaku dan Sarah
mengambil peluang itu untuk berlari serta menarik pekerja lain keluar dari
premis itu.
Ketika ditemu ramah TVNZ, Patel berkata, dia amat bangga
dengan Sarah.
“Dia sungguh berani. Memang saya sangat bangga dengannya.
“Mungkin dia menyangka mereka mahu memukul pekerja terbabit
dan berusaha membantunya.
“Sebenarnya kami tidak tahu peranannya sehingga melihat
rakaman CCTV,” katanya.
Katanya, Sarah masih terkejut dengan kejadian itu tetapi
semakin pulih.
Ulasan
Catat Ulasan