Wanita Cedera Di Kepala Dipukul Jiran Lelaki Dengan Topi Keledar.

Bayan Lepas – Wanita cedera di kepala dipukul jiran lelaki dengan topi keledar dalam pergaduhan di kawasan perumahan kos rendah dua tingkat di Permatang Damar Laut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa Noor Shahfiza Yusoff, 38, turut pengsan dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Menurut Noor Shahfiza, jiran yang tinggal di tingkat atas tidak berpuas hati kerana dia memasang alat penghawa dingin baru dan memberi alasan pemasangan kompresor di dinding terlalu hampir dengan tangga rumahnya.

“Jiran meminta tukang supaya menanggalkan kompresor terbabit namun saya menghalang tindakannya menyebabkan dia terus menghayun topi keledar.

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Anuar Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan setakat ini suspek berusia 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.-The Kuala Lumpur Post
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.