Dikejar, Ditetak Hingga Mati Oleh 3 Lelaki.

Gambar Hiasan
Kajang – Lelaki warga Afrika ditemui mati ditetak di kawasan Taman Cendana, Sungai Chua, Kajang, malam tadi.

Mayat ditemui penduduk terbaring di lorong belakang rumah di Jalan Cendana 3, pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata berdasarkan saksi, mangsa dikejar tiga lelaki dipercayai warga Afrika sebelum menetak mangsa.

Menurutnya, siasatan polis di lokasi kejadian menemui tiga parang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Siasatan selanjutnya polis menemui kesan darah. Ada dua kesan cap jari pada parang dan jumpa Hyundai Elantra merah dipercayai milik mangsa diletakkan kira-kira 100 meter dari lokasi.

“Sehingga ini, kami masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa berikutan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri milik di tubuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, skuad Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dibantu anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menahan empat lelaki warga Nigeria di Kajang.

Beliau berkata, keempat-empatnya ditahan pada kira-kira 11 malam.

Susulan itu, katanya, satu lagi tangkapan dilakukan ke atas seorang lelaki warga Nigeria di tepi Jalan Taman Anggerik Villa, Kajang, pada 12.30 tengah malam.

“Semua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 28 terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. – Harian Metro
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.