Hukum Suami Yang Gemar Minum Air Susu Isteri.
Apakah hukum seorang suami gemar menghisap payu dara isteri
sambil terminum susunya sewaktu melakukan hubungan seks. Ini kerana suami saya
amat gemar melakukan perbuatan tersebut dan saya juga menikmatinya. Pada masa
yang sama, saya menyusukan anak perempuan berusia 10 bulan.
JAWAPAN:
Persetubuhan antara seorang lelaki dan perempuan menjadi
halal melalui pernikahan yang sah. Nikah yang sah menjadi portfolio untuk
mengadakan persetubuhan. Islam menghalalkannya dengan nikah dan mengharamkannya
bagi mereka yang tidak bernikah.
Melalui perkahwinan tertunailah segala keinginan seorang
lelaki dan keinginan seorang wanita. Fitrah semulajadi manusia telah
dilengkapkan dengan keinginan ini. Mereka yang hidup dengan menahan dan
mengorbankan keinginan fitrah nafsunya berhadapan dengan pelbagai masalah di
antaranya; psikologi yang terganggu, ketidakstabilan emosi, seterusnya membawa
masalah dalam kehidupan seharian.
Dalam hal ini, Islam memberi ruang untuk seseorang itu
menikmati keinginan nafsunya dengan izin syarak. Namun sebagai hamba yang
diciptakan untuk mematuhi perintah Allah maka cara dan etika dalam mengadakan
hubungan suami isteri perlu dijaga.
Ini kerana jimak juga dikira sebagai ibadat. Dalam surah
al-Baqarah, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah
sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara
yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu dan
bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya
(pada hari akhirat kelak). Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada
orang-orang yang beriman.
Dalam ayat ini Allah s.w.t. menggambarkan sebagai ladang
atau kebun itu dengan tatacara yang beradab, walaupun ayat ini menyatakan
datanglah kepada isteri-isteri kamu mengikut kamu suka.
Mengikut al-Raghib al-Asfahani, makna kebun itu adalah
tempat kamu menanam benih zuriat kamu. Al-Jauhariy menegaskan bahawa “kebun
dalam ayat ini adalah satu perumpamaan” manakala Ibn Abbas r.a. berpendapat:
“siramlah tanaman kamu di mana ia boleh tumbuh”.
Allah memberikan kebebasan bagi suami isteri untuk menikmati
jimak sesuai dengan kaedah dan cara yang dianggap sesuai menurut syarak.
Maksudnya memenuhi kepuasan nafsu dengan tidak melampaui nilai dan adab.
Namun begitu, Islam juga menggariskan batas-batas jimak
tersebut, seperti dilarang menjimak isteri ketika haid atau nifas, dilarang
menjimak dubur isteri dan lain-lain.
Mengenai persoalan terminum susu isteri ketika bersetubuh
sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Harus menghisap payu dara isteri
ketika berjimak, tetapi jika isteri dalam tempoh menyusukan anak adalah lebih
baik tidak menghisapnya sampai terminum susu dari tubuh isteri.
Ini kerana mungkin mulut si suami boleh membawa kuman dan
anak yang menghisap susu itu boleh terdedah kepada sebarang jangkitan kuman.
Perkara yang kedua ialah susu itu hak si anak dan bukan hak si suami. Walaupun
dengan meminum susu si isteri tidak menjadikan lelaki itu bapa susuan.
Sekiranya perbuatan suami itu membawa mudarat kepada bayi
dengan jangkitan kuman atau susu berkurangan, maka hukumnya haram.
Ulasan
Catat Ulasan