Isu Viral Faizz Nur Bermewah Dengan Harta Anak Yatim, Apa Kata Peguam?
Saya terpanggil untuk memberikan sedikit komen dan pandangan
dari sudut perundangan tentang isu yang sedang viral sekarang berkenaan dengan
wang sumbangan orang ramai kepada anak-anak mangsa kemalangan maut di Lebuhraya
DUKE tahun lalu.
Isu tersebut timbul apabila salah seorang kakak kepada arwah
mendakwa bahawa wang sumbangan yang didepositkan oleh orang awam dalam akaun
dua orang adik beliau telah tidak diagihkan sepenuhnya untuk tujuan
perbelanjaan dan kebajikan anak-anak mangsa.
Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka mendakwa bahawa,
berdasarkan pandangan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, wang tersebut adalah
milik dan hak mereka sepenuhnya kerana ianya di depositkan ke dalam akaun
mereka sendiri, bukannya atas akaun anak-anak tersebut.
Maka isu yang timbul dalam kes ini adalah:
Sama ada kedua-dua adik beradik tersebut dianggap sebagai
pemegang amanah (trustees) kepada anak-anak saudara mereka.
Sama ada wang sumbangan orang awam yang didepositkan kedalam
akaun kedua-dua mereka tersebut dianggap sebagai harta amanah (trust property).
Jika jawapannya ya, maka apakah kesan terhadap tindakan
mereka tersebut dari segi perundangan?
Sebenarnya, kalau kita rujuk kepada Akta Pemegang Amanah
(Trustees Act) 1949 (selepas ini disebut sebagai “Akta tersebut”), secara
ringkasnya, perkataan pemegang amanah itu didifinasikan sebagai :
Mana-mana pihak,
termasuklah wakil individu, yang mewakili sesuatu pihak yang berkepentingan
(benefesiari) untuk sesuatu tujuan tertentu
Maka dalam kes ini, saya berpandangan, untuk menentukan sama
ada kedua-dua bapa saudara anak-anak arwah tersebut adalah pemegang amanah yang
sah atau sebaliknya, kita perlu lihat kepada persoalan adakah tindakan mereka
memberikan nombor akaun kepada orang ramai untuk orang ramai menyalurkan
sumbangan ke dalam akaun tersebut dianggap secara tersiratnya sebagai mewakili
atau bertindak bagi pihak anak-anak saudara mereka, atau tindakan tersebut
hanya untuk diri mereka semata-mata?
Jika jawapannya ya, maka sudah pastilah dalam keadaan
tersebut mereka bolehlah dianggap sebagai pemegang amanah bagi pihak anak-anak
mangsa tersebut.
Dan justeru itu, wang sumbangan orang ramai ke dalam akaun
mereka bolehlah dianggap sebagai wang amanah bagi pihak anak-anak mangsa, dan
bukannya wang peribadi mereka.
Anda mungkin akan berkata, jika bukan dek kerana bersimpati
dengan anak-anak mangsa, sudah pasti orang awam tidak akan sewenang-wenangnya
mendepositkan wang kedalam akaun mereka. Bahkan jika bukan kerana anak-anak
mangsa juga, tiada sebab untuk orang awam menjadi “begitu pemurah” untuk
mendepositkan wang sumbangan dalam akaun orang yang tidak dikenali.
Justeru, tindakan orang awam mendepositkan wang ke dalam
akaun mereka berdua adalah kerana mempercayai bahawa kedua-dua mereka adalah
orang yang diamanahkan untuk mewakili anak-anak yatim tersebut.
Mungkin netizen akan melihat, disitulah wujudnya ikatan
mereka sebagai pemegang amanah secara tidak lansung, walaupun mungkin kedua-dua
mereka tidak pernah mendakwa secara verbal yang mereka adalah pemegang amanah
bagi pihak anak-anak saudara mereka. Persoalan ini saya serahkan kepada pembaca
sekalian untuk membuat tafsiran.
Baik, sekarang mari kita lihat pula apakah tanggungjawab
seorang pemegang amanah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Akta tersebut.
Di antara tanggungjawab seorang pemegang amanah termasuklah:
Tanggungjawab untuk bersifat amanah, setia, jujur dan tidak
membuat sebarang keuntungan peribadi terhadap harta amanah.
Tanggungjawab untuk menjaga dengan sebaiknya harta amanah
tersebut.
Tanggungjawab untuk melaburkan harta amanah tersebut secara
sah mengikut undang-undang untuk kepentingan benefesiri.
Tanggungjawab terhadap benefesiari untuk mengagihkan harta
amanah teraebut kepada mereka
Tanggungjawab untuk menanggung pengurusan harian dan
kebajikan benefesiari terutamanya yang bawah umur.
Maka daripada apa yang digariskan tersebut, sekiranya benar
kedua-dua mereka dianggap sebagai pemegang amanah, adalah menjadi kewajipan
kepada mereka untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab mereka sebagai
pemegang amanah seperti di atas.
Kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab di
atas, termasuklah kegagalan mengagihkan wang sumbangan orang ramai tersebut
bagi kepentingan anak-anak arwah, mungkin bolehlah dianggap sebagai Pecah Amanah
(Breach of Trust).
Jadi apakah tindakan yang boleh diambil untuk merungkai kes
di atas?
1. Secara peribadi saya berpendapat, bagi kedua-dua bapa
saudara tersebut, untuk mengesahkan kedudukan mereka sama ada mereka adalah
pemegang amanah kepada anak-anak mangsa atau sebaliknya, mereka wajar
memfailkan permohonan di Mahkamah untuk mendapatkan pengesahan atau arahan
(direction) dari pada Mahkamah tentang status dan kedudukan sebenar mereka.
Perkara ini dibenarkan di bawah Akta tersebut. Secara tidak lansung mereka
dapat membersihkan nama baik mereka setelah diviralkan di media massa dan media
online yang seolah-olah mereka adalah orang yang tidak amanah.
2. Saman fitnah juga mungkin boleh diambil oleh mereka
terhadap kakak mereka atas kenyataan yang telah dikeluarkan. Biarlah Mahkamah
yang menentukan kedudukan sebenar mereka dan biarlah Mahkamah juga yang
menentukan sama ada kenyataan yang dikeluarkan oleh kakak mereka adalah fitnah
atau fakta sebenar.
3. Cuma untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan
terperinci sama ada wujudnya elemen Pecah Amanah telah dilakukan oleh kedua-dua
mereka atau sebaliknya, para penderma berhak membuat laporan polis terhadap
kedua-dua mereka. Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak polis di bawah
Seksyen 405 Kanun Kesiksaan atas tuduhan Pecah amanah Jenayah (Criminal Breach
of Trust).
4. Jika terbukti bersalah mereka boleh dihukum di bawah
Seksyen 406 Kanun Keseksaan iaitu penjara tidak kurang daripada setahun dan
tidak lebih daripada 10 tahun, sebatan dan boleh juga didenda.
Sekian, terima kasih, Yang benar, SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Peguambela dan Peguamcara
Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)
Penafian:
Kenyataan di atas hanyalah sekadar panduan umum dan hanyalah
pandangan peribadi penulis semata-mata berdasarkan pemahaman dan rujukan
ringkas penulis terhadap berita yang disiarkan di media massa dan media online
beserta peruntukan undang-undang yang sedia ada. Ianya tidak dalam apa jua
keadaan sekalipun dianggap sebagai satu nasihat perundangan kepada mana-mana
pihak dan tidak akan mewujudkan apa-apa ikatan atau liabiliti perundangan
antara peguam dan anak guam kepada para pembaca dan pihak-pihak yang terbabit.
Penulis juga tidak akan bertanggungjawab di atas segala
masalah atau kerugian atau kesusahan yang dialami oleh pembaca atau mana-mana
pihak susulan daripada kenyataan di atas. Pembaca dan pihak-pihak terbabit
dinasihatatkan mendapatkan nasihat perundangan kedua daripada peguam yang
dilantik secara rasmi untuk kes yang dihadapi.- BERITA PREMIUM
Ulasan
Catat Ulasan