Jaga Diri & Bayi Dalam Kandungan Baik -Baik “Panggilan Terakhir Sebelum Maut”

Mohd Marwan Mustafa Afandi, 35, menghubungi isterinya untuk memaklumkan waktu bertugas akan tamat semalam dan tidak sabar untuk pulang selepas seminggu tidak bertemu keluarga dan berpesan kepada isterinya agar menjaga diri dan bayi dalam kandungannya baik baik.

Namun kira-kira sejam selepas membuat panggilan, Nik Hasniza Nik Idris, 25, yang sedang mengandung anak kedua dikejutkan dengan kematian suami akibat terhidu gas beracun semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di loji Petronas Gas Berhad (PGB) di Kerteh.

Mangsa yang berasal dari Su­ngai Buaya, Dungun tinggal di rumah sewa majikannya di Paka dan terpaksa berjauhan dengan isteri yang menetap di Balok, Kuantan.

“Arwah berpesan supaya jaga kesihatan dan menjaga anak de­ngan baik. Saya beranggapan itu adalah perkara biasa sehinggalah dia pergi tinggalkan kami selama-lamanya,” kata Nik Hasniza ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, Mohd. Marwan yang merupakan pekerja sebuah syarikat kontraktor memasuki kawasan loji untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketika memasuki pintu sebuah tangki bersama dua rakan, mang­sa tiba-tiba pengsan, dipercayai terhidu gas metana.

Rakan-rakannya cuba untuk memberikan bantuan namun mereka mulai lemah dan mengalami sesak nafas lalu menjauhkan diri dari tempat kejadian.

Beberapa pekerja lain yang menyedari kejadian itu memaklumkan kepada pihak pentadbiran syarikat sebelum mereka diberi bantuan.-eberita.org
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.