Sabtu, 29 Oktober 2016

Lelaki Bersenjatakan Parang Mati Ditembak, Cuba Menyerang Tiga Anggota Polis

Seorang lelaki bersenjatakan parang mati ditembak ketika cuba menyerang tiga anggota polis di Taman Muhibbah, Kajang petang tadi.

Dalam kejadian 2.51 petang, suspek warga tempatan berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kajang kira-kira empat jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan, berkata sebelum insiden itu, suspek dikatakan menyerang dua lelaki di kawasan itu.

“Polis menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung insiden itu dan tiga anggota polis terus ke lokasi kejadian dan pergi ke rumah suspek melalui maklumat yang diterima.

“Sebaik tiba di rumah suspek, ketiga-tiga anggota berkenaan memperkenalkan diri sebagai anggota polis namun secara tiba-tiba lelaki terbabit menumbuk seorang anggota polis berkenaan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di sini, hari ini.

Othman berkata, suspek kemudian memasuki semula rumah berkenaan dan membawa keluar sebilah parang sebelum berlari ke arah anggota polis itu.

“Polis telah mengarahkan suspek berhenti dan menyerah diri tetapi dia terus berlari ke arah anggota polis dan satu tembakan di udara terpaksa dilepaskan sebagai tanda amaran.

“Bagaimanapun, suspek terus mara dan cuba menyerang anggota terbabit sehingga memaksa anggota polis melepaskan tembakan terhadap suspek untuk mempertahankan diri,” katanya.

Suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.55 petang.

“Hasil semakan terhadap suspek mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, menceroboh serta dadah,” katanya.-eberita.org