Marah Bekalan Air Dipotong Staf SAJ Dipukul Pengguna Yang Tidak Puas Hati,
Kulai: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki memukul
dan mengugut seorang individu dipercayai kakitangan SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ)
selepas video insiden itu viral di laman sosial Facebook (FB) hari ini.
Video berdurasi 15 saat itu yang mula tersebar sejak jam 4
petang tadi memaparkan seorang lelaki memakai jaket SAJ yang berada di atas
motosikal ditumbuk di muka oleh seorang lelaki, manakala seorang lagi menendang
dan merampas topi keledar mangsa.
Ia dipercayai berlaku apabila lelaki berkenaan dikatakan
tidak berpuas hati dengan tindakan kakitangan SAJ itu memotong bekalan air di
kawasan Kampung Melayu di sini.
Kejadian itu dipercayai dirakam seorang lagi kakitangan SAJ
bertugas, yang mana suspek dilihat turut menuju ke arahnya sebelum rakaman
ditamatkan.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said ketika
dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden terbabit.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan
lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana
mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana melakukan
ugutan.
Sementara itu, jurucakap SAJ memaklumkan mereka hanya
menyedari kejadian itu selepas melihat video berkenaan dalam laman sosial.
"Kami masih menyiasat perkara ini kerana sehingga kini
kami tidak menerima apa-apa laporan daripada mangsa walaupun difahamkan laporan
polis sudah dibuat," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan