Pelakon Porno Dedah Taktik Licik Agensi Pornografi Jepun
Tokyo – Muda, cantik dan menagih populariti. Bagi Saki
Kozai, dia menyangka telah menemui cara untuk menjadi terkenal selepas
pencungkil bakat terserempak dengannya di Tokyo dan menawarkannya pekerjaan.
Teruja dengan kemasyhuran yang bakal dikecapi, gadis yang
baru berusia 24 tahun ketika itu lantas menandatangani kontrak dengan agensi
yang diperkenalkan kepadanya, dengan harapan akan menjadi bintang dalam video
promosi.
Namun malang baginya, ia bukan sebuah agensi permodelan.
Pada hari pertama di studio, Kozai diarah melakukan hubungan
seks di hadapan kamera.
“Saya tidak dapat menanggalkan pakaian. Apa yang saya boleh
buat hanyalah menangis,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa dia tidak
nampak jalan keluar daripada situasi yang mengerikan itu.
“Terdapat kira-kira 20 orang menunggu di sekeliling saya.
Tiada seorang perempuan boleh berkata ‘tidak’ apabila berdepan situasi seperti
itu,” katanya.
Kozai, kini 30 tahun, adalah antara wanita yang berani
melangkah keluar daripada bayang-bayang untuk menyatakan bahawa mereka telah
dipaksa bekerja dalam industri filem lucah yang bernilai berbilion dolar di
Jepun.
Filem lucah boleh didapati secara meluas di Jepun yang agak
liberal tentang pornografi.
Tetapi sisi gelap industri itu jarang dibincangkan, juga
hak-hak mereka yang bekerja di dalam industri itu.
Tuduhan bahawa pelakon wanita dipaksa melakukan adegan seks
kejam tanpa kerelaan mendorong industri untuk mengeluarkan permohonan maaf dan
menjanjikan perubahan.
Pengakuan itu susulan penangkapan tiga pencungkil bakat di
Tokyo pada Jun yang dituduh memaksa seorang wanita untuk muncul dalam lebih 100
video lucah.
Sepertimana Kozai, wanita yang tidak dinamakan itu juga
menyangka dia akan menjadi model.
Pengkritik berkata pencungkil bakat memperdaya gadis –
termasuk yang di bawah umur – dengan janji beroleh kemasyhuran dalam industri
hiburan.
Dalam kes lain, para gadis diperdaya untuk terjebak dengan
gaya hidup mewah sebelum mereka dipaksa bekerja dalam industri filem lucah bagi
membayar “hutang”.
Agensi berkenaan memastikan mereka terperangkap melalui
ancaman, ugutan dan penipuan kontrak.
‘Tiada pilihan’
Seorang lagi wanita yang enggan dikenali memberitahu AFP
bahawa dia ditipu oleh ejen yang berjanji untuk membantunya menjadi penyanyi.
Dia menandatangani satu kontrak yang tidak menyatakan secara
jelas tugasnya yang sebenar.
“Agensi itu mencuba berbulan lamanya untuk meyakinkan saya.
Saya tidak mempunyai pilihan,” kata gadis berusia 26 tahun itu kepada AFP.
Dia menolak pada mulanya. Tetapi seperti Kozai dan wanita
lain, dia mengalah juga akibat tekanan.
“Pada mulanya, saya beritahu mereka saya tidak boleh
melakukannya,” katanya.
“Tetapi apabila saya lakukan juga, ia amat menyakitkan.
Namun pasukan produksi tidak pula menghentikan rakaman.”
Organisasi bukan berasaskan keuntungan, Lighthouse yang
bertekad menghentikan penyeludupan manusia berkata lebih 60 pelakon lucah
wanita yang cuba keluar daripada industri itu telah menghubungi mereka pada
separuh pertama tahun 2016 – jauh melebihi jumlah pada tahun sebelumnya.
“Kami rasa ini hanya sebahagian kecil daripada bilangan
itu,” kata jurucakap Lighthouse, Aiki Segawa.
“Kebanyakan mangsa rasa bersalah, sangka apa yang berlaku
adalah kesalahan mereka.”
Kebanyakan wanita ini berusia di antara 18 dan 25 tahun
dengan pengetahuan undang-undang kontrak yang amat sedikit.
Kes melibatkan mereka biasanya sukar untuk dibuktikan di
mahkamah.
“Mereka bukan disalah guna atau dikurung … mereka sebenarnya
ditipu,” kata Segawa.
Kozai ketagihan ubat penenang untuk mengatasi masalah
kemurungan dihadapinya dan diasingkan selepas agensi yakin dia telah memutuskan
hubungan dengan keluarga untuk memberikan tumpuan kepada kerjayanya.
“Saya tidak dapat membuat keputusan yang rasional lagi,”
katanya.
Kozai akhirnya meninggalkan agensi yang mengubah dirinya.
Namun dia masih berlakon dalam filem lucah sebagai pelakon bebas.
Satu laporan oleh pertubuhan Hak Asasi Manusia yang
berpangkalan di Tokyo menyenaraikan helah kotor yang digunakan oleh pencari
bakat filem lucah.
Antaranya, mangsa diancam dengan denda yang amat tinggi
untuk keluar daripada kontrak atau diberitahu mereka tidak akan dapat mencari
pekerjaan di luar selepas muncul dalam filem lucah.
Pencungkil bakat filem lucah juga muncul di kampus
universiti atau rumah mangsa untuk menuntut penalti yang tinggi daripada ibu
bapa pelakon jika mereka enggan bekerja, katanya.
Kemurungan, bunuh diri
Tahun lepas, Mahkamah Daerah Tokyo menafikan saman sebuah
agensi berjumlah ¥24.000.000 (AS$ 240,000) daripada seorang wanita yang enggan
muncul dalam filem lucah.
Menurut pengkritik, ia merupakan satu duluan dan kemenangan
daripada aspek perundangan yang jarang berlaku.
Menurut perangkaan industri, Jepun mengeluarkan kira-kira
30,000 filem lucah setiap tahun.
Namun, adalah mustahil untuk menghalang pengedaran filem
lucah pelakon yang diperdaya daripada tersebar di era internet.
Seorang wanita yang dipetik dalam laporan itu telah berulang
kali menjalani pembedahan plastik untuk melarikan diri daripada kisah silam.
Sementara seorang lagi merancang mengupah peguam untuk
menghentikan pengedaran filem lakonannya.
Namun, menurut laporan, dia menggantung diri sebelum kes
dibicarakan.
Mariko Kawana, pelakon filem lucah yang kini menjadi penulis
novel, menubuhkan sebuah organisasi menggesa keseragaman dan ketelusan kontrak.
“Setiap syarikat filem lucah mempunyai peraturan sendiri –
ia harus bersatu untuk melindungi hak-hak pelakon,” kata Kawana yang terlibat
dalam industri ini atas pilihan sendiri.
Bagi Kozai, yang sedang mempertimbangkan tindakan
undang-undang terhadap bekas agensinya, tangkapan dan liputan media mungkin
dapat merangsang perubahan, dan membantu wanita lain mengelak daripada
diperdaya seperti yang berlaku kepada dirinya.
“Jika saya boleh menjadi contoh, gadis lain yang berdepan
masalah ini juga boleh diselamatkan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan