Suami Yang Mendera Isteri Secara Seksual Direman 4 Hari

Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, membenarkan tahanan reman empat hari bermula hari ini terhadap anggota SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes keganasan rumah tangga terhadap isterinya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rasidah Roslee membenarkan tahanan reman terhadap anggota terbabit selepas menerima permohonan Inspektor Ahmad Suffi Zailanudin pada 12.10 tengah hari ini.

Isteri suspek yang berusia 22 tahun membuat laporan di Balai Polis Sungai Mati di Daerah Ledang mendakwa dicederakan, pada 20 September lalu.

Suspek kemudian ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Segamat dengan kerjasama IPK Melaka di perkarangan Balai Polis Batu Berendam, kira-kira 8 malam tadi.

Polis Johor semalam mengesahkan menerima dua laporan polis berhubung kes keganasan rumahtangga membabitkan anggota SPRM yang viral di laman sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung dakwaan wanita di Facebook (FB) itu dan dua kertas siasatan kemudiannya dibuka.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana dengan sengaja menyebabkan cedera," katanya.

Baru-baru ini, viral di FB berkaitan seorang wanita yang menjadi mangsa rumahtangga kepada suaminya yang juga seorang anggota SPRM.

Menerusi kandungan di FB itu, wanita berkenaan menceritakan dia dipukul suaminya dan pernah diugut dengan parang.- Harian Metro
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.