Abang Tampar Pipi Adik Didenda RM2000

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang tukang cuci kereta didenda maksimum RM2,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, gara-gara menampar pipi adik perempuannya, minggu lalu.

Utusan melaporkan, Majistret Umzarul An Nur Umar menjatuhkan hukuman itu ke atas G. Yuvanesh, 21, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan adiknya yang berusia 16 tahun di dalam sebuah rumah, Blok D-15-9, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan 1/2, Batu 4/12, Jalan Ipoh, di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 31 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa berada di luar rumah, tertuduh telah memanggil adik perempuannya itu berulang kali namun tidak didengari.

Tertuduh berasa berang dan terus bertindak menampar pipi adiknya dan turut memarahinya.

Semasa mangsa masuk ke dalam bilik, lelaki yang dalam keadaan mabuk itu sekali lagi menampar pipi kiri mangsa sehingga kepala pelajar tingkatan empat itu terhantuk ke dinding.

Mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala, lebam di bahagian lengan dan pipi.
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.