Isteri Muntah Debu Kena Sihir Penunduk Taring Binatang Dengan Suami.
SETIAP kali memandang wajah suaminya, hati Fida, 41, pasti terkenang. Ada
rasa kesal dan tidak percaya menjentik mindanya apabila mengenangkan perbuatan
terkutuk yang pernah dilakukan suaminya itu dahulu.
Fida tidak pernah menduga lelaki yang dinikahi atas dasar
cinta kira-kira 15 tahun lalu itu tergamak menyihirnya demi mahu hidup
senang-lenang.
“Saya sedikit pun tidak pernah meragui tindak-tanduknya.
Sungguh saya tidak menyangka akhirnya diri ini diperbodohkan,” ujarnya.
Menyingkap kembali memori perkahwinan mereka, Fida berkata,
dia mengenali suaminya, Ramli, 42, ketika sama-sama bertugas di sektor swasta
di selatan tanah air.
“Ketika bercinta, saya banyak lebihkan keluarga pihak lelaki
sampaikan ibu bapa saya berkecil hati. Masa saya juga banyak dihabiskan untuk
Ramli sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai anak kepada mereka.
“Saya pun tidak tahu mengapa saya bertindak sedemikian
tetapi pekara itu menyebabkan percintaan kami mendapat tentangan keluarga.
“Bagaimanapun, demi menjaga nama baik, mereka akhirnya
merestui perkahwinan kami,” ceritanya.
Tangkal taring binatang
Melihat dirinya sekarang, ibu kepada tiga orang anak itu
kini menyedari suaminya itu menggunakan sihir penunduk sejak awal perkenalan
mereka lagi.
“Tidak hairanlah saya begitu menurut kata-katanya bagaikan lembu dicucuk hidung. Apa sahaja yang dikehendakinya pasti akan dituruti tanpa
banyak soal,” katanya.
Cerita Fida, dia banyak berhabis wang ringgit dan
bergadai barang kemas demi suaminya itu.
“Dia juga mengongkong serta melarang saya balik ke kampung
halaman untuk bertemu keluarga. Peliknya, saya ikut sahaja telunjuknya tanpa
mempertahankan hak saya,” ujarnya yang sanggup memutuskan hubungan dengan
mana-mana rakan yang berani menegur sikap Ramli.
Namun, apa yang lebih mengecewakan Fida, suaminya itu
tergamak membawa pulang beberapa orang wanita berlainan ke rumah mereka untuk
ditiduri.
“Saya sedikit pun tidak melenting, malah boleh hidangkan air
buat mereka. Bukan tidak marah tetapi lidah saya jadi kelu sampai tidak mampu
berbuat apa-apa.
“Mujurlah anak-anak tidak tahu perangai buruk bapa mereka
kerana masing-masing bersekolah di asrama penuh,” ceritanya.
Wanita yang berasal dari Pantai Timur itu mengetahui dirinya
disihir selepas mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam At-Tobibi, Kok
Lanas, Kelantan pada awal Januari lalu.
“Saya tahu ada yang tidak kena pada diri saya. Lagipun,
sebelum ini saya pernah menemui barang-barang mencurigakan seperti azimat
taring haiwan dan tangkal kain kuning dalam simpanan Ramli.
“Paling mengejutkan, saya pernah terjumpa patung voodoo
tanpa kepala daripada lidi diletakkan di kepala katil di sebelah tempat tidur
saya.
“Apa yang menakutkan, patung itu dipintal dengan rambut saya
sendiri dan dicucuk dengan pin serta jarum tajam,” jelasnya.
Fida mengakui berasa terkilan ketika diberitahu, patung itu
antara bahan sihir yang digunakan suaminya untuk menundukkannya.
“Seperti mana rambut itu dipintal pada patung itu, seperti
itulah saya diikat untuk terus turut pada perintah suami.
“Saya juga kerap bermimpi dibelit ular dan diberi makan
makanan kotor oleh suami sendiri. Rupa-rupanya, ia petanda saya disihir,”
katanya.
Muntah debu
Bercerita mengenai rawatan yang dijalani, Fida berkata, dia
memuntahkan debu selepas diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat ruqyah dan
diberikan air zamzam.
Menurutnya, dia boleh merasakan perubahan selepas menerima
rawatan buat kali kedua di pusat perubatan sama di Nilai, Negeri Sembilan.
“Berkat menjaga solat dan mengamalkan ayat-ayat pembenteng
sihir, saya demi sedikit pulih daripada ‘penyakit’ ini. Selepas makin sembuh,
saya ada bermimpi suami melambai-lambaikan tangan seolah-olah mengucapkan
selamat tinggal.
“Saya juga ada bermimpi dia merayu-rayu agar tidak
meninggalkannya. Saya tidak pasti maksudnya, namun kini dia tidak boleh
mendekati saya lagi lebih-lebih lagi jika mahu berbuat jahat,” katanya.
Ditanya mengenai rumah tangganya, Fida berkata, dia
menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.
“Saya tidak fikir untuk meminta cerai kerana tidak mahu anak-anak
menanggung sengsara akibat perpisahan kami. Lagipun, kami sudah tua untuk
membawa haluan masing-masing.
“Buat masa ini, saya mahu memperbanyakkan ibadat dan
berharap Ramli akan bertaubat dan menginsafi perbuatannya,” ujar Fida lembut
menutup bicara.
Ulasan
Catat Ulasan