'Lebih 48,000 Pasangan Islam Bercerai Dalam 7 bulan'
Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama
Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata daripada jumlah itu, tiga negeri yang
mencatatkan kes tertinggi adalah Selangor (7,731) diikuti Sabah (6,638) dan
Johor (4,700).
"Kajian mendapati kebanyakan perkahwinan kali pertama
yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun
dan ke bawah.
"Antara punca yang dikenal pasti adalah tiada
persefahaman (56.2 peratus), suami tidak bertanggungjawab (15.2 peratus) dan
isteri curang (11.8 peratus)," katanya menjawab soalan Siti Zailah Mohd
Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah bertanya mengenai statistik terkini perceraian
di negara ini sejak 2014 hingga 2016 mengikut pecahan negeri dan bangsa serta
kaedah yang akan diambil kementerian bagi menangani perkara tersebut.
Azizah berkata menyedari masalah tersebut, pihaknya
melaksanakan pelbagai usaha bagi memantapkan institusi perkahwinan termasuk
menyediakan perkhidmatan kaunseling kekeluargaan, diselia Unit Kaunseling
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di setiap negeri.
Beliau berkata unit kaunseling itu dikendalikan 17 kaunselor
dan 61 kaunselor panel bertauliah.
Menurut Azizah, kementeriannya juga akan menambah baik modul
kursus perkahwinan sedia ada dengan mengambil kira aspek media sosial yang
mampu menjadi punca utama krisis rumahtangga sehingga menyebabkan berlakunya
perceraian. - Bernama
Ulasan
Catat Ulasan