Pegawai SPRM Yang Mendera Isteri Dengan Kejam, Mengamuk Di Mahkamah.
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) yang disyaki mendera isterinya September lalu, dihadapkan ke Mahkamah
Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengugut birasnya dengan sebilah
parang panjang, September lalu.
Tertuduh, Muhammad Nazrin Abdullah, 37, bagaimanapun mengaku
tidak bersalah selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan
Majistret Maslinda Selamat.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Nazrin didakwa
melakukan ugutan dengan menunjukkan sebilah parang panjang kepada birasnya,
Mohammad Faris Ngatiman di sebuah rumah beralamat Kampung Parit Jarum Tengah,
Bukit Gambir kira-kira jam 7.10 pagi, 21 September.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan
jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau
denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000
dengan dua orang penjamin warga tempatan, pasport antarabangsa ditahan dan
menetapkan 21 November ini untuk sebuatan semula.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri dua minggu
sekali di Balai Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dan tidak
dibenarkan mendekati mangsa.
Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor
Harlina Mohd Aidil mengendalikan kes berkenaan.
Sementara itu, tertuduh tiba-tiba bertindak agresif apabila
menjerit dan mengeluarkan perkataan kesat di kandang tertuduh sebaik majistret
selesai memberikan perintah jaminan terhadapnya.
Dia yang tidak berpuas hati dengan perintah jaminan termasuk
menahan pasport antarabangsanya menjerit menyatakan keputusan itu tidak adil
terhadapnya kerana bercadang mengerjakan umrah pada 13 November ini.
"Aku nak pergi umrah la," jerit tertuduh
berkali-kali. Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan