“Rasuah Berleluasa, Sistem Cukai Yang Tinggi, Teguran Sultan Perak
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa rasuah
berleluasa dan sistem cukai tinggi diperkenalkan boleh mengakibatkan
pemerintahan jatuh sepertimana yang berlaku terhadap Melaka pada 1511.
Sultan Perak bertitah, sejarah Melaka perlu dijadikan
iktibar oleh pemimpin dan rakyat negara ini kerana sekiranya ia tidak dijaga
boleh menyebabkan berlakunya kejatuhan sesebuah pemerintahan.
Baginda bertitah, kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan
Portugis pada 1511 adalah disebabkan pemimpinnya leka hingga mengabaikan rakyat
dan negara.
"Selepas ketiadaan Tun Perak, tanggungjawab pentadbiran
diserahkan kepada mereka yang kurang bijaksana.
“Rasuah berleluasa, sistem cukai yang tinggi yang
diperkenalkan mengakibatkan pedagang beralih ke pelabuhan lain, di Acheh, di
Bantam, di Patani dan di Brunei.
"Perdagangan di Melaka merosot dalam suasana berlakunya
perpecahan sesama bangsa.
“Berlakunya perselisihan puak tua dan muda serta berlaku
pula pengkhianatan rakyat tempatan dengan dibantu oleh orang luar,"
titahnya pada Sambutan Ulang Tahun Keputeraannya di Istana Iskandariah, di
sini, hari ini.
Bernama pula melaporkan, Sultan Nazrin yang dimahsyurkan
sebagai Sultan Perak pada 2014 bertitah kebijaksanaan seseorang sultan dan raja
menitahkan hukum serta melaksanakan keadilan dipengaruhi oleh maklumat sebenar
yang sampai kepada pendengaran baginda.
"Beta amat hargai kata panduan dan kata pedoman yang
disembah maklumkan oleh ahli-ahli Dewan Negara, para ulama dan para umarak.
"Beta hargai lafaz taat setia yang dizahirkan Raja
Muda, demikian juga ikrar taat setia yang dipersembahkan oleh Menteri Besar,
beta amat insaf akan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas beta,"
titah Sultan Nazrin.
Titah Sultan Nazrin kesempurnaan dalam menyempurnakan amanah
sebagai Sultan Perak bukan sahaja diperhatikan oleh rakyat, tetapi merupakan
ujian besar daripada Allah, yang akan dinilai pada hari kebangkitan kelak.
"Semoga dalam memenuhi amanah, ketika bersemayam di
atas takhta kerajaan ini beta dijauhkan daripada hanyut dengan kata-kata pujian
yang boleh melalikan hingga mengakibatkan beta terkabur penglihatan," titah
baginda.
Dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat, Sultan Nazrin
menzahirkan penghargaan terhadap persepakatan yang baginda peroleh daripada
semua pihak termasuk kerabat diraja Perak, polis dan tentera yang membantu
dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Masing-masing telah menyempurnakan amanah untuk
membantu supaya negeri ini terus dapat dibangunkan dalam suasana aman dan warga
berada dalam sejahtera.
"Demikian jua penghargaan beta kepada pihak swasta,
badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan-pertubuhan belia,
badan-badan sukan, serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan
usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta," titah baginda.
Pada istiadat hari ini, Sultan Nazrin berkenan
menganugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat negeri kepada 33
daripada keseluruhan 333 penerima, manakala bakinya akan menerima darjah
kebesaran masing-masing pada istiadat 12 Nov depan. - Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan