“Saya Minta Maaf Di Atas Kebodohan Saya” – Janna Nick
Kuala Lumpur – Pelakon dan penyanyi, Janna Nick memohon maaf
secara terbuka di atas keterlanjurannya memberi komen terhadap bentuk fizikal
artis Hollywood kelahiran Australia, Ruby Rose yang disifatkan biadap oleh
sesetengah netizen.
“Saya minta maaf di atas kebodohan saya. Saya sudah lama
mengikuti Ruby Rose di Instagram dari zamannya berisi hingga kurus. Saya
sendiri tidak tahu wujud terma ‘body shaming’ iaitu komen atau sikap negatif
terhadap saiz dan berat badan seseorang sedangkan saya tidak bermaksud apa-apa.
“Komen itu sebenarnya saya tulis sejak lima bulan lalu. Tapi
apabila Instagram mengemaskini sistem, komen saya secara automatik dilihat
individu yang saya ikuti di laman bergambar berkenaan.
“Sebab itu ia menjadi viral namun ikutkan saya malas mahu
melayan isu ini. Saya pun awalnya tidak tahu budaya orang sana berhubung komen
fizikal secara terbuka adalah sesuatu yang dianggap menghina.
“Saya sendiri ramai memberi komen ‘gemuk’ tetapi saya okey
saja,” katanya yang membuat meluahkan permohonan maaf itu menerusi laman sosial
miliknya, Twitter dan Facebook, semalam.
Terdahulu, isu berkenaan timbul selepas komen Janna di
status selebriti terbabit yang memintanya menambah berat badan dikritik peminat
Ruby, sekali gus membuatkan pengikut Janna pula melakukan serangan balas.
Perang maya dengan berbalas komen di bawah gambar artis luar
negara yang berbikini itu dan dimuat naik sekitar Ogos lalu nyata masih
berterusan membuatkan pelakon berusia 21 tahun itu mengambil langkah meminta
maaf.
“Sebagai manusia saya tidak lepas melakukan kesilapan. Kalau
pandai sangat, saya mungkin sudah jadi doktor. Kini saya tahu ‘body shaming’
itu tidak elok. Malah saya tulis komen itu pun tanpa menjangka Ruby atau
peminatnya mengenali saya.
“Artis pun ada rasa macam orang biasa, jadi wira papan
kekunci seperti netizen sekarang ini. Kalau betul saya hendak kutuk fizikal
orang, boleh saja saya kutuk sesama artis Malaysia. Mungkin saya sepatutnya
komen kepada Ruby dalam bahasa Kedah,” tulisnya lagi.
Pada masa sama, gadis berdarah campuran Melayu, Pakistan,
Cina dan Thailand itu berharap tempias yang tercetus tidak terpalit kepada
artis Malaysia lain kerana ia terjadi di atas kekhilafan sendiri.
“Saya minta maaf kalau komen ditulis untuk Ruby itu buat
semua sakit hati. Tetapi jangan babitkan artis Malaysia yang lain kerana saya
seorang saja yang bebal. Saya akan teruskan kerja seni ini. Kalau tidak suka
lagu saya jangan dengar radio. Kalau tidak suka lakonan saya, jangan buka TV.
“Kalau tak suka pemakaian saya dan cara pembawaan diri,
janganlah mengendap. Tegurlah, saya boleh terima dengan hati terbuka. Kita
manusia boleh tahu membezakan perkara positif dan negatif,” katanya. – BH
Online
Ulasan
Catat Ulasan