Suami Isteri Maut, Kren Tumbang Di Persiaran Astana, Meru.

Klang: Lelaki dan wanita dipercayai suami isteri maut selepas kren statik tumbang menghempap kereta dinaiki mereka di Persiaran Astana, Meru di sini, hari ini.

Jurucakap bomba Selangor berkata, pihaknya menerusi sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan awam pada 12.35 tengah hari.

"Pemeriksaan kemudian mendapati kereta yang melalui jalan itu dihempap satu kren statik projek pembinaan di kawasan berkenaan.

"Dua mangsa iaitu lelaki dan wanita yang berada di dalam kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala," katanya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Abd Rahim Abd Rahman, 61, dan Nurhayati, 56.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.-Harian Metro

Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.