Bersyukurlah Jika Anda Belum Pernah 'Kena Tindih'.
Bayangan tersebut mengeluarkan bunyi nyaring menyeramkan
yang menikam telinga.
Tangan-tangan hantu mencekik leher seolah-olah mahu
membunuh. Ketika semua ini terjadi, anda sedar tetapi langsung tidak boleh
bergerak, mengeluarkan suara.
Kisah di atas bagaikan diolah semula dari sebuah filem ngeri
dengan tujuan untuk menakutkan pembaca, namun ia berlaku sendiri kepada penulis
yang ketika itu berusia belasan tahun.
Kini, selepas membaca berpuluh-puluh mahupun beratus-ratus
kisah hampir serupa dari individu lain di serata dunia dan beberapa siri
penyelidikan sendiri, barulah penulis tahu pengalaman 'kena tindih' yang
dipanggil masyarakat tempatan tersebut mempunyai terma saintifiknya sendiri.
Keadaan tersebut dikenali sebagai 'sleep paralysis' yang
berlaku sebelum individu memasuki fasa mimpi atau REM (rapid eye movement).
Ketika fasa tidur REM, badan kita bertindak menutup segala
fungsi pergerakan dan beberapa deria untuk memastikan kita 'gagal' mengawal dan
'bertindak sesuka hati' dalam mimpi.
Tetapi ketika 'sleep paralysis', hanya minda kita tidak
memasuki fasa tidur REM dan telah mencipta bayangan, bunyi dan halusinasi pelik
atau ngeri.
Laporan individu di seluruh dunia mengatakan mereka seperti
dicekik, ditekan di bahagian leher atau dada dengan jari, berhadapan bayangan
tidak bermuka atau bermuka ngeri, bayangan duduk di atas badan atau kaki
mereka, mengeluarkan bunyi nyaring yang mengerikan, selain mengeluarkan
bisikan-bisikan menyeramkan seperti 'Aku akan bunuh engkau'.
Penulis sendiri pernah 'ditindih' (untuk sekalian kalinya)
dan berhadapan hanya seinci dengan salah sebuah lembaga berkulit terbakar
bersama lahar api mengalir seperti nanah membisikkan 'aku akan bunuh engkau' ke
telinga penulis.
Bagi penulis, satu-satunya cara untuk menyedarkan badan dari
kaku adalah menjerit sekuat hati.
Secara automatiknya bayangan ngeri atau hantu hilang dan
fungsi badan kembali seperti sedia kala, diiringi nafas yang berat dan dalam
serta berpeluh-peluh.
Tindakan yang dilakukan penulis tersebut rupanya sama dengan
beratus-ratus lagi individu yang mengalami fenomena 'sleep paralysis' iaitu menjerit
untuk bangun.
Selain daripada bayangan dan bunyi, pengadu 'sleep
paralysis' juga mengatakan mereka 'menyedari' kehadiran entiti yang mempunyai
niat jahat di dalam bilik tidur mereka ketika kejadian.
Dirasuk syaitan
Nicholas Bruno merupakan salah seorang individu yang sering
'ditindih' ketika tidur. Beliau mula melalui pengalaman menakutkan tersebut
ketika berusia 15 tahun.
Ketika mula-mula mengalami 'sleep paralysis', Nicholas
menyangka dirinya bagaikan 'dirasuk syaitan'.
Nicholas mula merekodkan semua pengalaman 'ditindih' dalam
sebuah jurnal. Salah seorang uguru di sekolahnya pula mencadangkan Nicholas
supaya merealisasikan pengalaman 'sleep paralysis' dalam bentuk seni.
Kini, Nicholas melakukan beberapa siri fotografi yang
merakamkan perasaanya ketika 'sleep paralysis'.
Foto yang diambil Nicholas selalunya bermotifkan 'tidak
masuk akal' dan lain dari yang lain, sama seperti apa yang dialami oleh pengadu
'sleep paralysis' di seluruh dunia.
Antara foto Nicholas menunjukkan bayangan atau lembaga yang
matanya ditutupi dengan kain yang terperangkap dalam sebuah paya dan lembaga
berselubung yang bersedia untuk menyerang dan mengejar mangsanya.
Menurut laporan CNN, walaupun tema foto Nicholas adalah
'dark' (gelap), tapi hobi barunya itu berjaya menyelamatkan Nicholas dari terus
diselubungi ketakutan ketika mahu tidur.
"Saya rasa susah untuk berbual dengan orang lain
tentang perkara ini (sleep paralysis) sebelum saya mulakan fotografi. Orang
ingat saya gila," kata Nicholas dipetik laporan CNN.
Kata Nicholas, selepas foto-fotonya dimuat naik ke laman
foto Instagram, ramai individu tampil dan mengaku diganggu fenomena 'sleep
paralysis' dan berkongsi pengalaman mereka.
Antara foto-foto yang dimuatnaik oleh Nicholas yang mengambarkan
pengalaman dan perasaan ketika 'sleep paralysis'
"Mereka yang tidak pernah mengalami 'sleep paralysis'
akan kata mereka berminat untuk mengalaminya, tetapi percayalah, anda tidak
akan mahu mengalaminya," jelas Nicholas.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan