Gara-Gara Bawa Sebotol Air Ke Rumah Jamal Ratu Naga Disimbah Air Kumbahan.

SHAH ALAM - "Kedatangan dia 'Ratu Naga' Syarul Ema Rena Abu Samah, ke rumah saya dengan hanya membawa sebotol air, adalah satu penghinaan."

Demikian reaksi Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung insiden kekecohan yang berlaku di hadapan rumahnya di Ampang, pagi ini.

Terdahulu, satu kekecohan berlaku apabila kedatangan Syarul Ema Rena yang popular dengan jolokan Ratu Naga ke rumah Jamal dengan membawa sebotol air bertujuan untuk memandikannya.

Dakwa Jamal, jiran-jirannya yang melihat situasi itu kemudiannya bertindak 'memandikan' Ratu Naga dengan air longkang dan najis.

"Sudah lima hari air tiada di rumah saya, jadi apa yang mereka bawa dengan sebotol air hanya nak mengejek-ejek saya, saya tahu apa yang mereka lakukan ini kerana tindak balas tentang mesej saya berikan semalam.

"Saya minta dia balik tapi tak mahu balik sebab itulah dia dimandikan dengan air longkang dan air najis baru dia balik. Dia nak sangat merasa air longkang dan air kumbahan jadi dia kena hadaplah benda ini, kerana perbuatan beliau untuk mengejek membawa padah," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Dalam pada itu, Jamal berkata, sepatutnya isu air ini tidak boleh dipolitikkan dan dipermainkan kerana ini perkara serius.

"Mereka sepatutnya berbincang dengan pemimpin mereka untuk menyelesaikan isu air ini, bukan hendak main politik," katanya lagi sambil menambah beliau bukan hendak membuat gimik politik berkenaan isu air ini.

"Ini masalah rakyat Selangor, sudah lima hari air di rumah saya tiada ini bukan main-main, kamu semua boleh datang sendiri ke rumah saya tengok," katanya.-Sinar Harian

Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.