Remaja 14 Tahun Dikurung Dan Dirogol Bergilir-Gilir Oleh 6 Lelaki.
Kuala Terengganu – Seorang remaja perempuan hidup dalam
ketakutan selepas mendakwa dirogol enam lelaki tidak dikenali sejak September
lalu dalam dua kejadian berasingan di Kuala Nerus.
Tragedi hitam menimpa mangsa berusia 14 tahun itu bermula
ketika dia bersama rakan perempuan berada di Stadium Sultan Mizan Gong Badak,
Kuala Nerus, jam 1 pagi awal September lalu
Menurut sumber, mangsa dan rakannya dihampiri dua lelaki
tidak dikenali yang mengajak mereka bersembang di sebuah rumah di kawasan
Seberang Takir yang berjanji tidak melakukan apa-apa.
“Mangsa mulanya enggan menerima ajakan dua lelaki itu
sebelum bersetuju selepas rakannya meninggalkannya keseorangan di tempat
berkenaan kerana keluar bersama rakan lain.
“Sebaik tiba di rumah dimaksudkan, seorang lelaki tidak
dikenali datang sebelum ketiga-tiga mereka merogol mangsa bergilir-gilir
sebelum seorang suspek menghantar mangsa pulang ke rumah jam 4 pagi,” katanya.
Sumber itu berkata, kejadian sama berulang apabila mangsa
mendakwa dirogol tiga lelaki lain dengan seorang daripada mereka yang dikenali
di sebuah rumah rehat di Kuala Nerus jam 1 pagi, 10 September lalu.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa
bersetuju mengikut seorang suspek menemaninya dengan rakan yang menyewa rumah
rehat itu.
“Sebaik tiba, mangsa menyedari rakan dimaksudkan suspek
tiada di rumah itu sebelum mangsa sekali lagi dirogol. Tidak lama kemudian, dua
lagi lelaki datang dan turut merogol mangsa.
“Mangsa menghubungi rakan abangnya meminta bantuan sebelum
dihantar pulang ke rumah.
“Mangsa mulanya mahu merahsiakan kejadian, tetapi membuat
laporan polis apabila dua daripada enam suspek merogolnya sebelum itu
mengajaknya berjumpa jam 9 malam, 2 Disember lalu,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Wan
Aziantie Wan Ab. Karim @ Isa membenarkan dua suspek masing-masing berusia 15
dan 20 tahun direman hingga 14 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen
375(B) Kanun Keseksaan. – Harian Metro
Ulasan
Catat Ulasan