Skuad ‘Pembunuh Wanita Simpanan’
Beijing – Seorang wanita memilih kerjaya pelik tetapi
menguntungkan apabila membantu golongan isteri membalas dendam terhadap wanita
simpanan suami mereka sejak sedekad lalu.
Zhang Yufeng dilaporkan membantu ribuan isteri ‘pulih’
daripada rasa perit akibat suami yang curang dengan mengumpulkan bahan bukti
untuk kes mahkamah.
Dia juga membantu membawa mereka kepada wanita yang dianggap
perosak rumah tangga untuk memukul dan memalukan mereka.
Zhang – yang lebih popular digelar ‘pembunuh wanita
simpanan’ berkata, dia terpanggil untuk melakukan kerja itu selepas suaminya
sendiri curang dan menceraikannya pada 1990-an.
Zhang yang enggan mengalah dan bersedih memutuskan membalas
dendam dan menjejaki suaminya dan wanita simpanan terbabit hingga memaksa
mereka melarikan diri serta berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk
mengelaknya.
Tidak lama selepas itu, dia dihampiri seorang wanita meminta
bantuan membalas dendam untuk anaknya yang kemurungan dan kemudian membunuh
diri selepas ditinggalkan suami yang curang.
“Saya berjanji kepadanya akan menghapuskan lelaki seperti
itu tanpa belas kasihan,” katanya.
Zhang kini memiliki kediaman di Beijing yang turut dijadikan
tempat perlindungan untuk wanita yang diusir suami kerana mempunyai kekasih
baru.
Perniagaannya semakin berkembang dengan peningkatan kadar
perceraian di China.
Zhang mendakwa menerima lebih 100 panggilan sehari daripada
wanita yang terdesak.
Malah dia kini dianggap wira dan tidak ubah seperti
selebriti kepada segelintir orang.
Sejak kebelakangan ini, banyak video dimuat naik ke media
sosial China menunjukkan kumpulan wanita memukul dan membogelkan perempuan
disyaki kekasih gelap di khalayak ramai.
Lazimnya video itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang
menganggap tidak adil untuk perempuan simpanan kerana si suami yang sepatutnya
dipersalahkan.
Namun Zhang berpendapat wanita seperti itu sama saja
jahatnya malah dianggap tidak ubah seperti ‘syaitan Jepun’ yang patut dipancung
menggunakan pedang.
“Kali pertama saya membantu seorang wanita membelasah
seorang perempuan simpanan suaminya selepas kami terserempak dengannya ketika
membuat siasatan.
“Polis datang ketika saya menendang, memukul dan
menghinanya. Saya terus memberitahu wanita itu menggoda suami orang.
“Polis terbabit berkata, ‘saya tidak nampak apa-apa.’
“Ia menandakan perbuatan saya itu tidak akan diambil
tindakan.
Kerana itu saya berani terus membelasah wanita itu,”
katanya.
Ulasan
Catat Ulasan