Video Lelaki Disebat Kerana Hina Mendiang ‘Datuk’
Seorang lelaki dengan badannya bertatu dilihat disebat
berulang kali menerusi satu video yang menjadi viral di media sosial.
Mangsa bagaimanapun diselamatkan pihak polis, manakala
individu yang memukulnya ditahan.
Dipercayai lokasi kejadian berlaku di rumah pengurusan mayat
pada Jumaat malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Zainol
Samah berkata, siasatan awal mendedahkan mangsa disebat kerana menghina
mendiang bergelar ‘Datuk’ di Facebook.
“Mangsa dibawa oleh pengikut ‘Datuk’ ke rumah pengurusan
mayat sebelum disebat. Susulan maklumat orang awam, polis tiba di tempat
kejadian bagi menyelamatkan mangsa dan membawanya ke balai polis untuk membuat
laporan.
“Polis kemudiannya menahan lelaki yang memukulnya,” kata
Zainol ketika dihubungi pada Sabtu.
Menerusi klip video berdurasi 1.40 minit itu, lelaki itu dilihat
disebat sebanyak 47 kali menggunakan hos paip.
Mangsa turut ditendang sekali di bahagian dada.
Di dalam video berkenaan, lelaki tersebut dipukul berulang
kali selepas menjawab “ya” ketika ditanya dalam bahasa Hokkien sama ada dia
mengenali ‘Datuk’.
Dia diarahkan untuk tidak berdiri semasa disebat.
Bagaimanapun kedengaran mangsa merayu agar tidak disebat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid
berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan. – mStar
Ulasan
Catat Ulasan