Wanita Diserang 5 Lelaki Ketika Sedang Makan

Miri – Lima lelaki mengamuk menggunakan kayu dan menyerang seorang wanita ketika mangsa sedang menjamu selera di restoran Ming Cafe, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, berkata serangan itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung kedai makan itu.

Bagaimanapun, katanya, situasi tegang yang berlarutan 10 minit itu berjaya dikawal pengurus dan pekerja premis itu yang kemudian mengusir penyerang terbabit daripada mencetuskan kekecohan di kedainya pada kira-kira jam 1.45 tengah hari.

“Siasatan awal polis mendapati serangan berpunca daripada selisih faham antara dua wanita.

“Seorang daripada wanita itu memanggil teman lelakinya untuk menyerang rakan wanitanya itu,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat kes itu dan sudah merampas kayu yang digunakan penyerang.

Katanya, belum ada tangkapan dibuat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – BH Online
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.