Wanita Mengandung 7 Bulan Diganggu Secara Seksual Oleh Doktor Klinik Kerajaan.
TEMERLOH – Seorang wanita yang mengandung anak sulung
berusia tujuh bulan trauma setelah diganggu secara seksual seorang ‘doktor
pakar’ klinik kerajaan selepas menerima
rawatan di sebuah klinik kerajaan di sini, semalam.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Siti 20-an berkata,
‘doktor pakar’ terbabit mengganggu secara seksual selepas mendapat butiran
peribadi dirinya daripada kakitangan klinik kerajaan terbabit.
Menceritakan semula kejadian, Siti berkata, dia bersama
suami pergi mendapatkan rawatan pemeriksaan berkala ibu mengandung di klinik
kerajaan, kira-kira jam 8.15 pada Rabu.
Menurutnya, selepas menjalani rawatan dalam tempoh setengah
jam di klinik tersebut dia pulang seperti biasa ke rumah ibu mentuanya di
bandar ini.
“Waktu sampai di tempat kerja petang tu, saya terima panggilan
telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dia doktor pakar.
“Saya jawablah semua soalan macam biasa sebab dia nampak
macam tahu semua. Tapi saya pelik bila dia mula tanya beberapa soalan sulit dan
tak sepatutnya ditanya.
“Saya jadi makin takut bila dia mula keluarkan perkataan
lucah dan ugut nak cari saya.
“Lepas tu saya matikan talian dan terus beritahu suami.
Lepas bincang dengan mak mentua kami ke balai polis esoknya buat laporan
polis,” katanya.
Siti berkata, dia kemudian bersama suami dan ibu mentua ke
klinik kesihatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan.
“Kami terkejut bila salah seorang kakitangan di situ mengaku
bagi maklumat peribadi, nombor telefon dan nama saya kepada seorang lelaki yang
mendakwa dia ‘doktor pakar’.
“Kakitangan itu mengaku ada seorang lelaki hubungi klinik
mendakwa dia doktor pakar untuk mendapatkan semua butiran rawatan diterima ibu
mengandung pada hari tersebut,” katanya.
Sementara itu, ibu mentua mangsa yang mahu dikenali sebagai
Aminah berkata, dia kecewa kejadian yang menimpa menantunya disebabkan kecuaian
pihak klinik yang memberikan maklumat peribadi kepada pihak ketiga.
Menurutnya, akibat kejadian itu, menantunya kini trauma,
mengalami tekanan dan dibimbangi akan menjejaskan kandungan berusia tujuh
bulan.
“Kami kecewa kerana kakitangan klinik hanya mohon maaf, itu
pun sebelum itu mereka cuba pertahankan tindakan mereka.
“Menantu saya asyik menangis saja lepas kejadian. Kami
difahamkan kejadian ini bukan yang pertama berlaku, dah ada beberapa bukti
kejadian yang sama berlaku sebelum ini,” katanya.
Suami mangsa, yang mahu dikenali sebagai Muhamad berkata,
dia mendapat maklumat kejadian yang sama turut dilaporkan berlaku di Kuantan
sebelum ini.
“Saya tengok dalam Facebook ada beberapa wanita mengandung
mendakwa diganggu secara seksual oleh lelaki yang sama,” katanya.
Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas perkara ini
dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.-Sinar Harian
Ulasan
Catat Ulasan