Wanita Terima Padah Memuat Naik Kenyataan Menghina Azan Di Media Sosial.

Johor Baharu – Polis menahan seorang wanita malam tadi kerana dipercayai membuat kenyataan dengan menghina azan dan agama Islam menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata wanita berumur 26 tahun itu ditahan pada 8 malam di sebuah rumah di Taman Rekamas, Simpang Renggam dekat Kluang selepas pihaknya menerima satu laporan, 20 Dis lepas.

“Bertindak atas laporan tersebut, polis yang menjalankan siasatan telah dapat mengesan pemilik akaun laman sosial berkenaan yang disyaki memuat naik kenyataan yang menghina azan dan agama Islam. Keadaan ini boleh mencetuskan suasana tidak harmoni,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis turut merampas satu komputer riba dan satu telefon bimbit milik wanita berkenaan.

Beliau berkata polis akan mengemukakan permohonan reman terhadap wanita itu bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Katanya, polis sehubungan itu menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi media sosial bagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dan melukakan perasaan penganut agama lain. – Bernama
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.