Nenek Berusia 70 Tahun Rupanya Mummy Kepada 12 Wanita GRO

Melaka – Seorang wanita warga emas berusia 70 tahun ditahan polis selepas dia disyaki menjadi ibu ayam atau ‘mummy’ yang mengurus dan menjaga 12 wanita pelayan (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan.

Dia yang sudah bergelar nenek dan terketar-ketar ketika berjalan ditahan bersama GRO warga asing berkenaan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Banda Hilir, di sini, 12.30 tengah malam, semalam.

Serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, yang berakhir dua jam kemudian.

Pegawai Turus D7 IPK Melaka, Asisten Superintendan Faizal Azwan Osman berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan 15 individu berusia 20 hingga 30-an termasuk tiga warga tempatan bagi membantu siasatan.

“Gadis warga asing ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah dan pas lawatan sosial, namun mereka menyalahguna kebenaran berada di negara ini dengan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati gadis berkenaan tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan

di pusat hiburan berkenaan, semalam.

Faizal Azwan berkata, GRO yang ditahan itu membabitkan enam warga Thailand, empat China dan masing-masing seorang berasal dari Laos dan Vietnam.

Menurutnya, tiga warga tempatan ditahan membabitkan dua lelaki berusia 34 dan 45 tahun disyaki penjaga premis serta seorang wanita warga emas disyaki ibu ayam.

“Hasil siasatan awal, semua gadis mengaku bekerja sebagai GRO di pusat hiburan itu. Kami merampas wang tunai berjumlah RM205, 13 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan enam dokumen perjalanan.


“Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Banda Hilir, untuk proses dokumentasi dan diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.