Suami Curang Dengan Rakan Sekerja, 3 Tahun Di Tipu
Saya dan suami sudah 7 tahun berkahwin. Kami bahagia,
dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 6 dan 4 tahun. Sepanjang tempoh
perkahwinan, suami baik sangat dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab zahir
dan batin. Alhamdulillah. Anak-anak juga manja dengan bapa mereka.
Tiga bulan yang lalu, saya menerima mesej di WhatsApp dari
seorang wanita yang saya namakan sebagai Z. Dia mengaku bahawa dia adalah
kekasih suami saya.
Pada mulanya, saya ragu-ragu kerana saya tak perasan
langsung perubahan pada suami. Dia pergi kerja pagi, balik petang seperti
biasa. Bila hujung minggu, dia lepak di rumah saja dengan anak-anak. Tak mahu
berfikiran negatif, saya bertanya tentang perkara itu pada suami dan suami
mengaku Z adalah kekasihnya.
Hancur hati ini mendengar pengakuan suami, saya menangis
tanpa suara. Allahu, sakitnya rasa dikhianati. Suami beria-ria memujuk dan
menjelaskan wanita itu adalah rakan sekerjanya. Mereka mula rapat semenjak tiga
tahun lalu dan hanya berhubung melalui telefon. Adakalanya mereka keluar makan
tengah hari bersama-sama.
Saya mengaku yang saya bukan jenis memeriksa telefon bimbit
suami. Suami kata, dia memang cuba berterus terang dari awal, namun keadaan
selalu tidak mengizinkan. Malam itu, saya menangis semahu-mahunya. Saya memohon
pada Allah agar berikan saya kekuatan jiwa dan raga.
Selepas dari hari itu, saya mengumpul seluruh kekuatan untuk
duduk semeja dengan suami dan kekasihnya. Suami mengaku sayangkan saya dan Z
pada masa yang sama. Malah meminta izin untuk berkahwin dan berjanji akan
berlaku adil.
Dari segi luaran, Z nampak sopan, bertudung tutup dada,
berstokin dan tutur katanya lembut. Berkali-kali dia memohon maaf kerana
mengguriskan hati saya dan menjelaskan dia tiada niat untuk menghancurkan rumah
tangga saya, tetapi sekadar menumpang kasih.
Saya tidak tahu dari mana datangnya ketabahan saya semasa
suami dan Z bercerita tentang awal perkenalan mereka dan bagaimana terbitnya
rasa cinta. Allah beri saya kekuatan, saya hanya senyum. Hati saya? Saya tak
tahu, kosong.
Menurut Z, dia terpikat dengan suami saya kerana sikap suami
yang baik dan mengutamakan keluarga. Malah dia langsung tidak malu mengakui
bahawa dialah yang mula mendekati suami. Nekad betul ye? Saya suka sikapnya
yang berterus terang itu walaupun hanya mengambil masa tiga tahun. Namun agak
terkilan sedikit kerana dalam masa tiga tahun itu saya dibiarkan syok sendiri
dan yakin hati suami hanya untuk saya. Namun Allah Maha Kuasa.
Setelah mendengar penjelasan mereka, maka saya beri keizinan
tetapi dengan syarat, suami perlu melepaskan saya. Suami tidak setuju dan
meminta saya menerima Z sebagai madu. Z pula menangis memohon agar saya tidak
merumitkan lagi keadaan.
Sungguh itu bukan niat saya. Saya sudah penat berfikir, saya
tidak memberikan suami pilihan sama ada mahu memilih saya atau kekasihnya
kerana bagi saya, selepas terjalinnya hubungan cinta antara mereka, maka saya
sudah dijadikan sebagai pilihan kedua.
Perbincangan hari itu tidak berakhir dengan baik. Saya tetap
dengan keputusan saya meminta untuk dilepaskan. Selepas pertemuan itu juga,
suami berkali-kali merayu agar saya menerima perkahwinan itu. Malah dia
melabelkan keengganan saya sebagai ego dan tamak. Ego ke saya? Tamak ke saya?
Sepanjang perkahwinan saya cuba menjadi isteri terbaik. Saya jalankan
tanggungjawab dan hanya cintakan suami saya sepenuh hati. Rasanya saya berhak
untuk mendapat sepenuh cinta juga.
Tolonglah, tidak mudah bagi saya. Saya tidak mampu. Saya
percaya satu hati untuk satu nama. Saya percaya hati itu milik Allah, Allah
juga yang mengubah hatinya untuk wanita itu. Saya tidak menolak poligami itu
sunnah Rasul tetapi saya juga manusia biasa. Saya tidak yakin saya akan ikhlas,
maka lebih baik berundur lebih awal.
Saya meminta untuk dilepaskan bukan kerana tak sayang,
tetapi kerana suami tidak jujur. Walaupun suami tiada niat untuk berkahwin
dengan wanita itu, saya akan tetap meminta untuk dilepaskan. Saya tidak boleh
menerima kecurangan ini. Sungguh sakit untuk ditelan, perit. Tak apalah, semoga
semuanya selamat.
Dengan anak-anak juga saya telah jelaskan yang ibu dan ayah
dah tak boleh duduk bersama-sama. Nanti mereka akan ada ibu yang baru dan perlu
hormat serta sayang dia seperti mana mereka hormat dan sayang saya.
Alhamdulillah, anak sulung faham, tetapi yang bongsu ini belum mengerti
sepenuhnya. Maklumlah baru berusia 4 tahun. Syukur saya dikurniakan anak-anak
yang kuat seperti ibunya.
Khamis depan, saya akan dilepaskan. Wallahi, saya redha,
rela dan pasrah.
Kepada suami, semoga bahagia selamanya. Jagalah keluarga
baru awak elok-elok. Terima kasih sebab jaga saya selama ini. Saya harap bakal
isteri awak dapat menjaga Along dan baby seperti anak sendiri. Saya tak
menyimpan dendam, saya okey. Awak tahu saya kuat kan? Terima kasih sekali lagi.
– Kisah Rumah Tangga
Ulasan
Catat Ulasan