Wanita Tinggal Kanak-Kanak Sendirian Didenda RM10,000

Kuala Pilah – Wanita yang didakwa meninggalkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sebuah rumah sewa di Tampin dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini,

Hukuman itu dijatuhi Hakim Nariman Badruddin, selepas tertuduh Shamsinar Ambia, 36, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya gagal membayar denda dan perlu menjalani khidmat masyarakat di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama 240 jam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai penjaga meninggalkan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak berpatutan di sebuah rumah sewa di Kampung Parit Buluh, Tampin, jam 7 malam, 5 Januari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33(1)(c) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dan Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jumaat lalu, Harian Metro melaporkan penemuan kanak-kanak terbabit yang ditinggalkan dalam sebuah rumah gelap selepas penduduk mendengar tangisan sebelum membuat laporan kepada polis, jam 12.45 tengah malam. – Harian Metro
Wartawan Jalanan. Dikuasakan oleh Blogger.